Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail menyeru umat Islam agar memperkukuh kefahaman dan pegangan terhadap sunah Rasulullah SAW sebagai sumber asas ilmu serta panduan dalam kehidupan seharian.
Baginda bertitah sunah memainkan peranan penting bukan sahaja dalam ibadah, malah turut menjadi asas pembentukan keperibadian individu, pengukuhan masyarakat dan pembinaan tamadun yang teguh berlandaskan nilai moral dan etika.
“Sunah membentuk individu yang seterusnya membina masyarakat dan melahirkan tamadun yang kuat serta berdaya tahan,” titah baginda ketika menyempurnakan majlis penutupan Konvensyen Sunah Antarabangsa Perlis (PISC) 2026 Siri Ketiga di Dewan 2020 pada Ahad.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah umat Islam perlu dibimbing agar mampu membezakan antara amalan agama yang berakar daripada ajaran sahih dengan perbuatan yang dipengaruhi oleh adat atau andaian tanpa sandaran jelas dalam Islam.
“Islam mempunyai panduan yang jelas, tersusun dan sahih, bukan bersandarkan amalan warisan yang didasari kekurangan kefahaman yang betul.
“Perkara yang tidak diasaskan oleh panduan sahih walaupun kelihatan baik pada zahirnya, mungkin boleh menimbulkan kekeliruan jika tidak diteliti dengan ilmu dan kebijaksanaan,” titah baginda lagi.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah walaupun tradisi budaya boleh diamalkan dalam kehidupan seharian, pelaksanaannya mesti kekal dalam batas yang ditetapkan oleh al-Quran dan sunah, khususnya perkara yang tidak dinyatakan oleh hukum syarak secara spesifik.
Selain itu, baginda bertitah konvensyen bertemakan “Sunah: Sumber Ilmu” yang menarik penyertaan menggalakkan dari dalam dan luar negara, mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mengukuhkan kefahaman dalam konteks masyarakat kontemporari.
Tuanku Syed Sirajuddin juga menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur dan para penceramah, sambil menyifatkan konvensyen tersebut lebih daripada sekadar acara akademik kerana menjadi platform pertukaran ilmu, pandangan dan kepakaran yang bermakna dalam kalangan cendekiawan serta tokoh dakwah.
Selain itu, baginda bertitah bahawa usaha menghidupkan semula sunah dalam pembentukan peribadi dan pembinaan tamadun merupakan suatu keperluan mendesak bagi memastikan kewujudan masyarakat bermaruah dan negara yang makmur.
Pada masa yang sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat ke majlis penutupan berkenaan.