Syaza Wardina .
Diterbitkan pada 2 Februari 2026, 21:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan sumbangan berjumlah RM150,000.00 bagi meringankan penderitaan mangsa banjir di wilayah Aceh, Indonesia.

Majlis penyerahan sumbangan tersebut berlangsung bersempena dengan penganjuran Perlis International Sunnah Convention (PISC) 2026 di Kangar, pada 31 Januari lalu.

Majlis simbolik penyerahan bantuan tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua MAIPs dan Raja Puan Muda Perlis, YAM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor berkata, pelibatan seluruh kariah masjid di Perlis membuktikan bahawa institusi masjid di negeri tersebut memainkan peranan yang amat kritikal sebagai pusat penggerak kebajikan dan perpaduan ummah yang merentasi sempadan geografi.

“Sumbangan ini ialah amanah daripada seluruh umat Perlis.

“MAIPs berasa amat terharu dengan maklum balas yang diberikan oleh masyarakat apabila dalam tempoh yang singkat, kutipan daripada 101 buah masjid ini menunjukkan betapa kuatnya semangat solidariti kita terhadap saudara di Aceh yang sedang diuji dengan bencana banjir besar,” ujar beliau.

Dana bantuan yang berjaya dikumpulkan itu merupakan hasil mobilisasi kutipan yang digerakkan secara serentak di 101 buah masjid di seluruh Perlis melalui Tabung Bantuan Kemanusiaan Mangsa Banjir Aceh, baru-baru ini.

Sumbangan tersebut turut merangkumi sumbangan ikhlas daripada pelbagai lapisan masyarakat dan para dermawan yang tampil menyahut seruan kebajikan yang dianjurkan oleh MAIPs.

Beliau turut menjelaskan bahawa pemilihan Yayasan Ubudiah Aceh, Indonesia sebagai rakan pelaksana dengan kerjasama Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Sumatera Utara adalah berdasarkan pengalaman NGO berkenaan yang mempunyai rangkaian kerja yang mantap di kawasan terjejas.

Sementara itu, MAIPs merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh jawatankuasa masjid dan para penderma budiman yang telah menyumbang.

“Segala usaha kolektif ini diharapkan dapat memberikan sedikit sinar harapan dan kekuatan kepada mangsa banjir di Aceh untuk bangkit semula membina kehidupan mereka, di samping mendoakan agar setiap sumbangan yang diberikan dikurniakan ganjaran pahala yang berlipat ganda oleh Allah Azzawajalla,” ujarnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi