Diterbitkan pada 30 Januari 2026, 11:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Konvensyen Sunnah Antarabangsa Perlis (PISC) 2026 bakal menjadi tumpuan pencinta ilmu apabila para ilmuwan dan pendakwah berhimpun di Perlis bagi membincangkan kefahaman Islam yang berteraskan al-Quran dan sunah.

Konvensyen ilmiah bertaraf antarabangsa itu berlangsung selama tiga hari, bermula dari 30 Januari hingga 1 Februari 2026 di Dewan 2020.

Sepanjang penganjurannya, konvensyen tersebut menampilkan pelbagai pengisian berimpak tinggi merangkumi syarahan dan pembentangan ilmiah oleh ulama tempatan serta antarabangsa, forum dan wacana yang mengupas isu semasa umat Islam.

Selain itu, program ini mengadakan platform interaksi serta perkongsian ilmu bersama-sama para ilmuwan untuk memperkukuh kefahaman Islam berlandaskan manhaj Ahli Sunah Waljamaah.

PISC 2026 turut membariskan pelbagai tokoh ilmuwan antarabangsa terkemuka seperti Datuk Hussain Yee (Malaysia), Abdul Raheem Green (Britain), Assim al-Hakeem (Arab Saudi), Abdul Raheem McCarthy (Amerika Syarikat), Abu Usamah al-Thahabi (Amerika Syarikat), Farhan Rafee (Australia), Dr. Zakir Naik (India), Dr. Muhammad Salah (Mesir), Haitham al-Haddad (Britain) serta Mohammad al-Naqwi (Kuwait).

Acara berprestij ini merupakan anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan sokongan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), serta kerjasama strategik pelbagai agensi, institusi akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam perkembangan berkaitan, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Malam bersama Delegasi PISC 2026.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Mufti Negeri Perlis, YBhg. Sahibus Samahah Profesor Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Sementara itu, konvensyen berkenaan merupakan acara tahunan dalam kalendar rasmi Tahun Melawat Perlis 2024–2026, sekali gus memperkukuh peranan negeri itu sebagai pusat pengembangan ilmu Islam.

Inisiatif ini bukan sahaja berfungsi sebagai medan penyebaran dakwah, malah berperanan mengangkat Perlis sebagai hab ilmu Islam serta destinasi pelancongan berteraskan kerohanian pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Kredit Foto: MAIPs
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi