Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPauh Putra – Sebanyak 300 mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima manfaat agihan zakat berjumlah RM90,000 menerusi Program UniMAP–MAIPs Peduli 2026.
Agihan zakat tersebut sebagai usaha berterusan bagi meringankan beban kewangan pelajar, selain memperkukuh kebajikan golongan asnaf dalam kalangan warga universiti tersebut.
Naib Canselor UniMAP, YBhg. Datuk Profesor Dr. Zaliman Sauli berkata, Jabatan Hal Ehwal Pelajar melaksanakan proses pemilihan terhadap 280 orang pelajar daripada tujuh fakulti, manakala Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) pula memilih 20 orang pelajar Tahfiz Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi agihan zakat tersebut.
“Agihan zakat ini merupakan amanah yang perlu diurus secara telus dan berintegriti supaya benar-benar memberikan impak langsung kepada kesejahteraan penerima,” katanya ketika berucap dalam Majlis Agihan Zakat bersempena dengan Program UniMAP–MAIPs Peduli 2026 di Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.
Jelas beliau, pelaksanaannya bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya satu amanah besar yang mencerminkan keprihatinan UniMAP terhadap kebajikan mahasiswa, khususnya ketika mendepani cabaran kos sara hidup dan kelangsungan pendidikan.
Beliau merakamkan penghargaan kepada MAlPs dan semua penyumbang zakat yang terus mempercayai UniMAP untuk mengurus dan menyalurkan bantuan kepada mahasiswa yang layak.
Tambah beliau lagi, sebanyak 1254 orang mahasiswa menerima manfaat agihan zakat MAlPs pada tahun lalu dengan jumlah keseluruhan melebihi RM687,000, termasuk program MAIPs Peduli dan Agihan Bantuan Pengajian bersempena dengan bulan Ramadan.
“Prestasi kutipan zakat gaji UniMAP turut meningkat kepada RM1.77 juta pada tahun 2025, dengan pertambahan hampir RM300,000 atau 16.8 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya.
“Peningkatan itu dijangka membolehkan agihan yang lebih meluas dan berimpak pada tahun ini,” katanya.
Dalam majlis itu, penyampaian cek cura agihan zakat disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mod Noor kepada YBhg. Datuk Profesor Dr. Zaliman Sauli.
Pada masa yang sama, acara itu turut disaksikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro-Canselor UniMAP.