Diterbitkan pada 22 Januari 2026, 08:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Raih Keberkatan Ramadan (RAKAN) dijangka menjadi platform yang signifikan dalam usaha memupuk nilai murni, semangat kesatuan dan kebersamaan dalam kalangan pemimpin negara serta warga Parlimen Malaysia.

Program anjuran Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Parlimen Malaysia itu berlangsung sepanjang tempoh sesi Mesyuarat Pertama Parlimen tahun 2026, bermula dari 21 Januari hingga 12 Mac di Surau Blok Pentadbiran Parlimen.

Selain itu, inisiatif tersebut bertujuan memakmurkan surau parlimen, khususnya sepanjang bulan Ramadan yang bakal menjelang dengan melibatkan pelaksanaan 53 siri pengisian kerohanian dan keilmuan.

Menurut YADIM, penganjuran program tersebut merupakan sebahagian daripada pendekatan dakwah yang menekankan prinsip berhikmah, inklusif serta relevan dengan realiti semasa.

Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang Berhormat (YB) Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul pada Rabu.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyeru seluruh warga parlimen agar memanfaatkan sepenuhnya peluang pengajian ilmu yang disediakan menerusi inisiatif YADIM ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas penganjuran program berkenaan yang bakal menampilkan barisan mufti, tokoh ilmuwan, selebriti dakwah dan Dai Muda YADIM sebagai penyampai pengisian.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul ketika menyampaikan ucapan perasmiannya.

Terdahulu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, YBrs. Ustaz Azlan Shah Nabees Khan menyampaikan tazkirah khas berkaitan dengan keistimewaan bulan Ramadan.

Majlis pelancaran program tersebut turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Puan Marhamah Rosli; Pengerusi MAIWP, YBhg. Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Yang Dipertua YADIM, YBhg. Datuk Dr. Hasan Bahrom serta wakil ulama dari Republik Islam Iran.

Kredit Foto: YADIM
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi