Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBukit Keteri – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menzahirkan penghargaan yang tinggi terhadap dedikasi serta komitmen yang ditunjukkan oleh pegawai masjid dalam memakmurkan institusi masjid dan memperkukuh syiar Islam di negeri ini.
Penghargaan tersebut disampaikan menerusi Majlis Pengurniaan Kain Samping Rasmi Pegawai Masjid Negeri Perlis Tahun 2026 yang telah disempurnakan secara simbolik oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs, bertempat di Masjid Mahmudiah, baru-baru ini.
Turut berangkat bersama-sama baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah JAIPs, Puan Maizura Shamsuddin.
Majlis berkenaan bukan sekadar sebagai tanda pengiktirafan terhadap peranan penting pegawai masjid, malah bertujuan untuk memperkukuh imej mereka sebagai individu yang tersusun, bersih dan berwibawa, di samping menjadi teladan kepada jemaah serta masyarakat setempat.
Pengiktirafan ini juga diharapkan dapat memberikan motivasi kepada para pegawai masjid untuk terus mengekalkan tahap profesionalisme dan standard perkhidmatan yang tinggi.
Selain itu, inisiatif berkenaan turut diharapkan dapat memupuk semangat kerjasama serta mempererat hubungan antara pegawai masjid dengan komuniti setempat, selaras dengan aspirasi JAIPs dan MAIPs untuk menjadikan masjid sebagai pusat khidmat umat yang bersepadu dan berkesan di seluruh negeri Perlis.
Dalam majlis yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM105,000 melibatkan sebanyak 150 orang penerima yang terdiri daripada 75 orang anak kariah dari Bukit Keteri dan 75 orang anak kariah dari Jamek Beseri.
