Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Peruntukan bidang kuasa mahkamah syariah menerusi Perlembagaan Persekutuan wajar dikaji dan diteliti dari semasa ke semasa.
Titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, hal ini bagi memastikan pelaksanaannya dapat dimaksimumkan tanpa melangkaui kerangka perlembagaan yang ditetapkan.
Menurut baginda lagi, dalam konteks ini, perkara berkaitan dengan prosedur jenayah, termasuk isu bidang kuasa tahanan reman oleh mahkamah syariah perlu diberikan perhatian dan kajian menyeluruh bagi meneliti sama ada terdapat ruang serta keperluan penerapannya dalam sistem kehakiman syariah pada masa ini.
“Mahkamah syariah perlu sentiasa peka terhadap bidang kuasa sedia ada, khususnya dalam bidang kuasa jenayah syariah agar kuasa kehakiman dapat diterapkan dengan lebih kemas dan berkesan.
“Pemantapan bidang kuasa jenayah syariah merupakan keperluan penting dalam usaha memperkukuh peranan mahkamah syariah sebagai institusi keadilan yang berwibawa, serta selari dengan keperluan semasa dan perkembangan sistem perundangan negara,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kangar.
Bersempena dengan program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada asnaf terpilih di Kampung Titi Tok Bandar, Kampung Hutan Melintang dan Kampung Panggau.
Baginda turut diiringi oleh Ketua Hakim Syarie Negeri Perlis, Yang Amat Arif (YAA) Tuan Haji Jaidi Ahmad.
Program Kayuhan MAIPs Peduli mengetengahkan pendekatan MAIPs yang turun padang bersama-sama ketua agensi serta jabatan pada peringkat negeri dan persekutuan mengunjungi sendiri kediaman rakyat.
Selain itu, pendekatan ini bertujuan menyelami realiti kehidupan golongan asnaf serta mereka yang kurang bernasib baik dengan lebih dekat, menyeluruh dan berkesan.