Diterbitkan pada 15 Januari 2026, 08:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) perlu terus berani menerajui inovasi, kekal cekap dalam penyampaian perkhidmatan, serta sentiasa mendekati denyut nadi rakyat yang memerlukan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah demikian ketika baginda berkenan mempengerusikan persidangan majlis bertempat di kompleks pentadbiran baharu MAIPs baru-baru ini.

Baginda menzahirkan keyakinan bahawa pihak MAIPs akan menilai kembali pencapaian semasa dan menetapkan hala tuju baharu bagi tahun 2026 selaras dengan Pelan Strategik Bersasar MAIPs 2026–2030.

Menurut baginda lagi, segala perkara yang diteliti, dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat berkenaan hendaklah diterjemahkan dengan penuh rasa tanggungjawab, berlandaskan prinsip integriti serta berpaksikan kemaslahatan ummah.

Pada masa yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra amat menghargai usaha gigih semua pihak yang memperkukuh kedudukan MAIPs sehingga hari ini.

“Kejayaan dalam pengurusan zakat, pelaksanaan program kebajikan, pemantapan sistem pentadbiran serta peluasan jaringan strategik menjadi bukti bahawa MAIPs terus bergerak ke hadapan dengan visi yang jelas dan tindakan yang tersusun,” titah baginda.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada para penyumbang zakat melalui MAIPs, di samping segala pencapaian dapat diteruskan dan dipertingkat pada tahun akan datang.

Terdahulu, baginda selaku Yang DiPertua MAIPs diiringi oleh ahli majlis meninjau tapak projek pembinaan kompleks pentadbiran baharu MAIPs yang disasarkan siap sepenuhnya pada tahun ini.

Kredit Foto: MAIPs
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi