Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan meluncurkan Kempen #MadaniMembantu pada Majlis Amanat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – JPM (HEA) – 2026 di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kompleks Islam Putrajaya, pada 12 Februari 2026.
Kempen tersebut merupakan inisiatif berterusan JPM (HEA) yang memberikan tumpuan kepada usaha membantu rakyat melalui pengurusan dan pemerkasaan hal ehwal Islam secara menyeluruh.

Menurut Dr. Zulkifli, peruntukan sebanyak RM2.6 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim kepada JPM (HEA) akan dimanfaatkan sebaik-baiknya demi kepentingan ummah.
“Peruntukan ini akan digunakan untuk pengurusan dan pemerkasaan hal ehwal Islam, termasuk aspek pentadbiran, pembangunan dasar, pelaksanaan program dakwah, serta pengukuhan institusi agama,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi beliau.
Beliau berkata, sokongan menyeluruh akan disalurkan kepada masjid, surau, sekolah agama, maahad tahfiz, institusi pondok, asnaf, serta pelajar institusi agama melalui bantuan sara hidup, pendidikan dan pembangunan komuniti berteraskan nilai MADANI.
Tambah YB Dr. Zulkifli, peruntukan segera berjumlah RM200 juta yang diumumkan baru-baru ini disediakan khusus bagi kerja baik pulih, naik taraf dan penyelenggaraan sekolah agama dan maahad tahfiz di seluruh negara.
Ujarnya lagi, kesemua inisiatif ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan Islam terus subur, mekar dan terjamin di Malaysia dengan sokongan padu warga JPM (Hal Ehwal Agama) dan rakyat keseluruhannya.
Sementara itu, dalam ucapan bertemakan “Mengemudi Pemerkasaan JPM (HEA) dalam Era Pascanormal”, beliau menegaskan keperluan memperkukuh kesepaduan tindakan serta sinergi strategik antara jabatan dan agensi berkaitan.
Beliau turut menyeru warga JPM (HEA) agar bersedia melakukan pembaharuan pendekatan kerja, mengutamakan inovasi serta menjadikan nilai amanah, integriti dan kejujuran sebagai teras perkhidmatan awam.