Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNilai – Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Penyelaras Siswazah serta Quranic and Sunnah Studies Postgraduate Association (QUSPA) berjaya menganjurkan Bengkel Penyelidikan dan Pengurusan Rujukan pada Isnin, 12 Januari 2026.
Bengkel yang berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 1.00 tengah hari itu diadakan di Bilik Mesyuarat Utama FPQS dan disampaikan oleh Pustakawan Kanan merangkap Ketua Seksyen Rujukan, Perpustakaan USIM, YBrs. Dr. Mohamad Salbihan Salman.
Pensyarah Kanan FPQS, YBrs. Dr. Zainora Daud berkata, beliau sangat teruja dengan ilmu baharu yang diperoleh melalui bengkel tersebut yang memberikan pendedahan jelas tentang penggunaan teknologi terkini dalam penyelidikan akademik.
“Hasil bengkel ini sangat membantu kerana penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penyelidikan dan pengurusan rujukan, khususnya untuk pensyarah dan pelajar siswazah, diperjelas sebagai alat atau instrumen pengukuhan dan bukannya sebagai pengganti.
“AI diperkenalkan sebagai satu alat kemahiran ilmiah teras yang menyokong amalan membaca secara kritis, menilai kesahihan sumber, membina hujah yang kukuh, dan menulis dengan jujur,” ujar Dr. Zainora.
Beliau menambah, teknologi AI wajar dimanfaatkan untuk mempercepat carian literatur, merangka struktur penulisan, menyemak bahasa, serta menjana format sitasi, dengan syarat setiap output disemak secara teliti dan selari dengan etika integriti akademik.
“Para pelajar pascasiswazah juga diajar tentang penggunaan teknologi AI yang cekap dan matang dalam penulisan tesis dan artikel akademik, bukan sekadar membuta tuli atau peniruan karya,” jelas beliau.
Sementara itu, Presiden QUSPA, Muhammad Arif Asnawi Mohd Zaki berkata, penganjuran Bengkel Bengkel Penyelidikan dan Pengurusan Rujukan bertujuan meningkatkan kemahiran penyelidikan akademik pelajar pascasiswazah, khususnya dari aspek carian maklumat dan pengurusan rujukan yang sistematik.
Menurutnya, bengkel tersebut memberikan kefahaman yang lebih jelas tentang kaedah mengakses pangkalan data akademik, mendapatkan bahan rujukan tambahan, serta menggunakan perisian Zotero dan Mendeley dengan lebih berkesan.
Bengkel Penyelidikan dan Pengurusan Rujukan disertai oleh sebanyak 25 orang peserta yang terdiri daripada pelajar pascasiswazah dan pensyarah daripada FPQS, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), serta Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK).