Diterbitkan pada 8 Januari 2026, 11:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pauh Putra – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan, strategi penyatuan nasional di negara ini perlu dipupuk melalui pemahaman mendalam terhadap Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Rukun Negara.

Titah baginda itu menyusuli keperluan melahirkan rakyat berjati diri teguh, matang bertoleransi dan bertanggungjawab demi keharmonian negara.

Titah baginda, “Setiap langkah yang kita ambil hari ini merupakan pelaburan berharga demi kesejahteraan generasi akan datang.”

“Oleh itu, seluruh lapisan masyarakat dan kepimpinan negara harus bersatu hati dalam menyuburkan keharmonian,” titah baginda.

Kita amat memerlukan strategi penyatuan nasional yang mampu membina rasa kekitaan yang jitu, di mana setiap rakyat berperanan aktif dalam membentuk masa depan Malaysia yang bersatu padu.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Sumbangan MAIPs Peduli di Kampung Ulu Pauh, Arau, baru-baru ini.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui inisiatif MAIPs Peduli merupakan program bantuan zakat holistik berteraskan pendekatan turun padang bagi menyantuni golongan asnaf di Perlis.

Program itu diketuai sendiri oleh baginda selaku Tuanku Yang Dipertua MAIPs, mencerminkan komitmen berterusan institusi zakat negeri terhadap kebajikan umat.

Bantuan turut menekankan kelestarian hidup penerima, di samping memastikan agihan zakat dilaksanakan secara berhemah dan berkesan.

Pada program tersebut, tiga orang asnaf terpilih menerima sumbangan wang tunai RM700 berserta Kit MAIPs Peduli dan beras fidyah.

Penerima terlibat ialah Anizam Shaaban, 49; Zainab @ Timah Saad, 86; dan Yusof Shaari, 70, yang masing-masing disantuni bagi meringankan beban sara hidup.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi