Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa dakwah Islam perlu menyesuaikan pendekatan era digital bagi menyebarkan pengetahuan dan sebagai pedoman untuk masyarakat.
Baginda menegaskan bahawa dakwah kini tidak lagi terhad di ruang kuliah, sebaliknya mesti diperluas ke platform digital.
“Pendekatan dalam dakwah perlu beradaptasi dengan perubahan zaman.”
“Dalam era moden yang penuh cabaran ini, para pendakwah dan ilmuwan Islam harus bijak memanfaatkan segala peluang yang ada bagi menyampaikan ilmu dan kesedaran kepada masyarakat,” titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan mengetuai program MAIPs Peduli di sekitar Kangar yang bermula dan berakhir di pekarangan Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, baru-baru ini.
“Dakwah pada hari ini tidak lagi terbatas di meja kuliah atau di mimbar khutbah semata-mata, bahkan perlu diperluas ke segenap platform seperti media sosial, audio siar, webinar dan YouTube,” titah baginda.
Turut berangkat mengiring ialah anakanda baginda, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Pada sesi kayuhan itu, baginda turut berkenan menyampaikan zakat kepada tiga penerima terpilih yang masing-masing menerima RM700 berserta kit keperluan asas.