Diterbitkan pada 31 Disember 2025, 16:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Madinah – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa para tetamu tanah suci yang menunaikan ibadah ziarah dan umrah buat kali pertama perlu merancang perjalanan dengan teliti serta mengutamakan persediaan diri dan pemilihan pengurusan perjalanan bagi mengelakkan perkara tidak diingini sehingga mengundang pelbagai rantaian masalah.

Menurut baginda, terdapat dua perkara utama perlu diberikan perhatian oleh jemaah, iaitu persediaan diri dan pemilihan pengurusan perjalanan.

“Persediaan diri merangkumi tahap kesihatan yang baik, penguasaan ilmu ibadah yang mencukupi, selain kesiapsiagaan mental dan fizikal sebelum berangkat ke tanah suci.

“Pemilihan pengurusan perjalanan yang berdaftar, telus dan berkaliber hendaklah diutamakan bagi memastikan perjalanan ibadah berjalan lancar serta mengelakkan sebarang kesulitan sepanjang berada di Arab Saudi,” titah baginda.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah demikian dalam kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan menyerahkan sumbangan Tabung Ibnu Sabil MAIPs melalui Pejabat Konsulat Malaysia di Jeddah, Arab Saudi, bagi membantu rakyat Malaysia yang terkandas di sana, baru-baru ini.

Sumbangan berkenaan diterima oleh Konsul (Pentadbiran, Konsular dan Kewangan) Malaysia di Jeddah, Raja Hanizam Putra Raja Najamudin.

Turut mengiringi baginda dalam majlis tersebut ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda,  Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, DYAM Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan DYAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Yang turut hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi