Diterbitkan pada 24 Disember 2025, 16:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Seorang pelajar tahfiz, Ahmad Fikri Abdul Hisham dari Maahad Tarbiah Mardhiah (MTM) Panchor melakar pencapaian luar biasa apabila berjaya menamatkan syahadah hafazan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh hanya 18 jam.

Remaja berusia 16 tahun itu memperoleh keputusan mumtaz (cemerlang) dalam ujian tersebut tanpa sebarang kesalahan.

Sesi bacaan tersebut diperdengarkan bermula dari jam 5.30 pagi hingga 11 malam pada Ahad di hadapan panel penilai yang terdiri daripada enam orang guru tahfiz dan hanya berehat untuk makan serta solat.

Menurut Ahmad Fikri, kunci utama di sebalik kejayaan besar ini ialah amalan kecil yang dilakukan secara konsisten, iaitu memperuntukkan selama 30 minit setiap kali selepas solat fardu untuk mengulang hafalannya.

Beliau menegaskan bahawa meskipun perkara tersebut kelihatan mudah, tetapi usahanya memerlukan disiplin yang amat tinggi.

“Rutin ini saya sudah amalkan sejak Tingkatan Satu lagi.

“Saya tidak menghafal dalam jumlah yang banyak setiap hari, namun saya pastikan amalan (ulang hafalan) ini dilakukan secara berterusan tanpa gagal,” katanya.

Remaja ini turut mengakui kejayaannya tidak akan tercapai tanpa dorongan ibu bapa serta bimbingan guru yang sentiasa mengingatkan tentang kepentingan adab, keikhlasan dan tawakal.

Bagi Ahmad Fikri, kejayaan ini bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya satu peringatan bahawa al-Quran akan “mendekati dirinya” kepada mereka yang setia mendampinginya.

“Hafazan al-Quran perlu dijadikan sebahagian daripada kehidupan seharian, bukannya dianggap sebagai sekadar tugasan akademik semata-mata,” jelasnya lagi.

Ahmad Fikri menjelaskan bahawa hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT ialah amalan yang dilakukan secara berterusan walaupun dalam jumlah yang sedikit.

Sementara itu, pencapaian cemerlang ini menjadi sejarah buat institusi berkenaan sejak aliran tahfiz diperkenalkan pada tahun 2010.

Kredit Foto: Facebook MTM Panchor
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi