Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMadinah – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bersama Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, berkenan mengadakan pertemuan dengan Imam dan Khatib Masjid Nabawi, Sheikh Dr. Abdul Muhsin Ibni Muhammad Al-Qasim di Pejabat Pengurusan Masjid Haramain, perkarangan Masjid Nabawi di Madinah al-Munawwarah, Arab Saudi.
Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Sheikh Dr. Abdul Muhsin, yang juga Ketua Hakim Mahkamah Rayuan al-Madinah, mengalu-alukan ziarah Baginda bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta seluruh usrah Anakanda Baginda Berdua, iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah, Hajah Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra ke Madinah.

Dalam pertemuan tersebut, Sheikh Dr. Abdul Muhsin turut menyampaikan beberapa tausiyah dan peringatan agar umat Islam sentiasa berusaha menjadi hamba Allah yang soleh dengan melaksanakan segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan dan tegahan-Nya.
Beliau menegaskan bahawa individu yang soleh bukan sahaja mendapat keredaan Allah SWT, malah akan sentiasa menggembirakan kedua-dua ibu bapa. Setiap perbuatan yang membawa kegembiraan kepada ibu bapa, jelas beliau, termasuk dalam kategori berbuat kebaikan dan kebajikan yang besar nilainya di sisi agama.
Selain itu, Sheikh Dr. Abdul Muhsin berpesan agar umat Islam membiasakan diri dengan membaca, memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran. Mereka yang sentiasa bersama al-Quran, katanya, tidak akan tersesat daripada jalan yang benar dan sentiasa berada dalam lingkungan keselamatan serta petunjuk Ilahi.
Beliau turut menasihatkan agar setiap Muslim sentiasa memilih dan setia mencari sahabat yang baik, kerana sahabat yang soleh akan menyokong, menegur dan mendorong ke arah kebaikan serta membantu membentuk peribadi yang diredai Allah SWT.
Pada masa yang sama, Sheikh Dr. Abdul Muhsin mempunyai hubungan yang erat dengan Perlis melalui kerjasama dengan MAIPs. Beliau pernah berkunjung ke Perlis pada tahun 2014 dan seterusnya melaksanakan siri majlis ilmu pada tahun 2016, yang telah memberi impak besar dalam pengukuhan tradisi keilmuan dan kefahaman Islam di negeri ini.
Beliau juga memperkenalkan kaedah pengajian hafalan mutun al-Quran menggunakan teknologi terkini dalam beberapa sesi Kunjungan Lawatan Tuanku Raja Muda Perlis ke Madinah, selain turut membantu melaksanakan beberapa kursus serta latihan berkaitan kehakiman syariah di Perlis, selari dengan usaha memperkasakan institusi kehakiman dan pentadbiran Islam.
Pertemuan tersebut mencerminkan hubungan erat antara institusi keilmuan Islam di Haramain dengan kepimpinan Perlis, di samping memperkukuh nilai tarbiah, akhlak dan penghayatan Islam dalam kalangan ummah.