Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Kangsar – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan Majlis Penyerahan Program Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) di Kampung Menora, Kuala Kangsar, bermula pada hari ini hingga 21 Disember 2025.
Program ini merupakan manifestasi komitmen Kerajaan MADANI melalui pendekatan menyeluruh kerajaan bagi merapatkan jurang pembangunan antara bandar dengan desa, serta memperkasakan kesejahteraan komuniti pada peringkat akar umbi.
“Di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Tahun 2025 ini, JAKIM telah memilih Kampung Menora sebagai lokasi tumpuan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Kewangan.
“Perkara ini merangkumi projek fizikal bernilai RM900,000 dan program bukan fizikal berjumlah RM100,000,” kata JAKIM dalam satu kenyataan.
JAKIM menjelaskan, skop projek tersebut memberikan tumpuan terhadap penaiktarafan infrastruktur asas, kemudahan awam, serta pelaksanaan program pembangunan sosial dan kerohanian komuniti setempat.
“Antara projek utama yang akan dilaksanakan termasuk pemasangan lampu solar jalan, menaik taraf Masjid al-Munariah, penyelenggaraan dan naik taraf jalan perhubungan desa, serta pembangunan projek ekonomi komuniti seperti ternakan lebah kelulut,” jelas JAKIM.
Selain itu, Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) turut diperkenalkan dengan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi setiap sekolah melibatkan Sekolah Kebangsaan Menora dan Sekolah Kebangsaan Sayong.
“Tumpuan inisiatif ini merangkumi penaiktarafan infrastruktur dan kemudahan sekolah, pendigitalan pengajaran dan pembelajaran, pembelian peralatan pintar, program kokurikulum, pembangunan sahsiah murid, serta pengukuhan hubungan sekolah dengan komuniti dan keluarga” tambah JAKIM.
Majlis perasmian penyerahan akan disempurnakan oleh Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, pada 20 Disember 2025.
Menurut JAKIM, sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai pengisian bertemakan kesejahteraan MADANI akan dilaksanakan, antaranya termasuklah Jelajah Peduli Ummah dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), kenduri rakyat, Forum Perdana Hal Ehwal Islam dan program khidmat masyarakat.