Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Pendidikan (KPM) memastikan kandungan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Sejarah digubal untuk memberikan pengetahuan, pemahaman dan penghayatan tentang sejarah negara dan dunia.
Menterinya, Yang Berhormat (YB) Fadhlina binti Sidek berkata, antara strategi memartabatkan tokoh pejuang Islam termasuklah melalui pengukuhan kandungan kurikulum yang menonjolkan sumbangan intelektual, spiritual dan pendidikan mereka, khususnya dalam penyemaian semangat kebangsaan dan keilmuan Islam.
Menurut beliau, kandungan tersebut turut menekankan nilai, akhlak serta motivasi perjuangan berasaskan ajaran agama dan legasi yang ditinggalkan.
“Kurikulum Sejarah juga menghubungkan perjuangan tokoh tempatan seperti Tok Janggut dan Haji Abdul Rahman Limbong dengan arus kebangkitan Islam pada peringkat antarabangsa, termasuk Gerakan Islah di Timur Tengah dan Nusantara.
“Tokoh seperti Sayyid Jamal al-Din al-Afghani dan Sheikh Muhammad Abduh serta tokoh tempatan seperti Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh al-Hadi dan Haji Abbas Mohd Taha turut dimasukkan dalam kurikulum,” kata beliau di Parlimen, baru-baru ini.
YB Fadhlina berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Marang, YB Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang yang meminta beliau menyatakan strategi untuk memartabatkan tokoh pejuang Islam dan pendidikan sejarah Islam dalam kurikulum kebangsaan sebagai usaha melawan saki-baki warisan penjajah dalam acuan pemikiran bangsa.
YB Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal turut menjelaskan bahawa sejarah Islam tidak diajar sebagai mata pelajaran berasingan, tetapi diintegrasikan dalam subjek teras Sejarah.
Jelasnya lagi, kandungan berkaitan dengan kemunculan dan perkembangan Islam dimasukkan dalam tajuk “Tamadun Dunia”, termasuklah latar masyarakat Arab sebelum Islam, ketokohan Nabi Muhammad SAW, serta sumbangan tamadun Islam kepada dunia.
“Selain itu, peranan Islam dalam pembentukan negara dan bangsa Malaysia diterangkan dalam tajuk Kesultanan Melayu Melaka, dengan penekanan kepada pengaruh Islam terhadap sistem pemerintahan, undang-undang dan cara hidup masyarakat, contohnya Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka.
“Strategi ini memastikan kurikulum bukan sahaja mengiktiraf tokoh pejuang Islam, bahkan memperkukuh kefahaman murid tentang peranan Islam dalam sejarah negara, sekali gus membentuk jati diri dan semangat kebangsaan,” tegasnya lagi.