Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangYB Senator Dr. Zulkifli Hasan membicarakan buku Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times yang merupakan karya terkini Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Buku Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times diterbitkan oleh dua penerbit antarabangsa, iaitu Hurst Publication dan Penguin Publication. Buku ini mengandungi 292 halaman (versi Penguin Publication) dengan enam bab dan pendahuluan atau prolog dan penutup atau epilog, sarat dengan rujukan karya agung dan bacaan Timur, Barat, Utara dan Selatan serta pelbagai tradisi ilmu.
Terdapat pelbagai komen dan ulasan mengenai buku ini bukan sahaja oleh pengulas tempatan malah pengulas antarabangsa. Sudah pasti ada yang positif dan ada juga yang mengkritik kandungannya. Saya cuba memberikan perspektif peribadi mengenai buku ini. Saya berpandangan untuk memahami buku ini dengan baik, pembaca memerlukan latar bacaan yang komprehensif dan sudah biasa atau pernah menelaah karya besar yang dirujuk oleh penulis. Oleh itu, Rethinking Ourselves ini menjadi pintu atau membuka jalan kepada pembaca untuk menelaah karya penting daripada pelbagai disiplin dan tradisi.
Berfikir ialah Tuntutan al-Quran
Membaca dan menelaah buku ini mengingatkan saya kepada tuntutan al-Quran agar manusia sentiasa berfikir. Allah SWT memuji golongan yang berfikir atau ulul albab yang sentiasa bertafakur (fikir), mentadabur (meneliti) dan bertaaqul (menjiwai). Perkataan akal dalam al-Quran termaktub sebanyak 50 kali dalam pelbagai surah. Suruhan untuk berfikir juga terdapat lebih kurang 700 tempat, manakala perkataan ulul albab disebut sebanyak 16 kali.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 269 yang bermaksud, “Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan oleh-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu, maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang yang menggunakan akal fikirannya.”
Buku ini merangsang pembaca untuk berfikir. Sudah terlalu lama kita dituduh dan dilabel sebagai bangsa yang tidak mampu berfikir. Hamid Dabashi menulis buku berjudul Can Non-European Think?, manakala Kishore Mahbubani menulis Can Asian Think? Abdul Hamid Abu Sulayman pula membangkitkan permasalahan utama umat Islam dengan karya Crisis in the Muslim Mind.
Wacana dalam buku tersebut cuba membangkitkan bahawa semua bangsa di dunia boleh dan mampu berfikir dengan baik. Krisis minda atau kelemahan untuk berfikir secara strategik merupakan masalah utama dan punca kepada kemunduran. Buku Rethinking Ourselves ini benar-benar merangsang dan mencabar minda kita untuk berfikir dan terus berfikir.
Kelainan dan Keunikan
Rethinking Ourselves merupakan hasil daripada nota penjara penulis buku ini yang telah ditahan sebanyak tiga kali sebagai pelajar, aktivis, ahli politik dan ilmuwan, iaitu pada tahun 1974‒1976, kemudian pada tahun 1998‒2004 dan kali terakhir pada 2015‒2018. Hal ini mengingatkan saya kepada Mukaddimah magnum opus Ibn Khaldun yang dihasilkan setelah beliau melalui liku kehidupan sebagai ilmuwan, ahli politik, hakim dan pemimpin masyarakat.
Terdapat beberapa karya yang dihasilkan oleh tokoh dunia semasa di dalam penjara seperti Antonio Gramsci dengan Prison Notebooks, Buya Hamka dengan Tafsir al-Azhar, Syed Qutb dengan Tafsir fi Zilal al-Quran dan Said Nursi dengan Risalah al-Nur.
Keunikan buku Rethinking Ourselves ini ialah hasil catatan tangan penulisnya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sepanjang kehidupannya di penjara. Catatan nota penjara ini dikembangkan menjadi idea dan gagasan besar yang dirumuskan dalam bentuk buku.
Rethinking Ourselves ialah sebuah karya yang menilai semula asas pemikiran, nilai dan sikap. Keunikannya menggabungkan dimensi moral, falsafah dan kemanusiaan dalam perbincangan soal pembangunan negara. Rethinking Ourselves bukan sekadar menyeru reformasi struktur, bahkan reformasi jiwa dan akal budi. Karya ini ialah manifestasi pemikiran, memoir, peta intelektual, wacana falsafah, pemikiran, teori sosial, politik, pemikiran Islam dan intelektual dalam era pascanormal.
Membaca buku ini mengingatkan saya akan karya Profesor Seyyed Hossein Nasr berjudul A Young Muslim Guide to the Modern World yang menekankan peri pentingnya menguasai pengetahuan turath Islami serta pengetahuan dan pemikiran moden termasuk falsafah Barat dan tradisi lain yang mempunyai keupayaan untuk mensistesiskan kedua-duanya.
Perkara inilah yang saya jumpai dalam Rethinking Ourselves apabila penulis berjaya mensintesiskan ilmu dan pemikiran antara turath dengan kotemporari, Barat dengan Timur, Utara dengan Selatan, demokrasi dengan ideologi lain, serta mengharmonikannya dari perspektif Islam.
Secara tidak sedar, Rethinking Ourselves sangat menekankan aspek pendidikan yang bukan sekadar proses penyampaian ilmu, bahkan membina insan holistik yang membentuk minda, karakter dan sahsiah. Membentuk dan mendidik manusia yang bukan hanya cerdas akalnya, bahkan jernih budi dan kukuh jati dirinya. Sistem pendidikan yang digagaskan ialah pendidikan manusiawi melahirkan insan seimbang bukan hanya pakar dalam sesuatu bidang, bahkan generalis dan pakar yang memiliki pelbagai ilmu pengetahuan secara meluas dalam pelbagai bidang (polymath).
Dalam The Revolt of the Masses, José Ortega y’ Gasset menyebut fenomena ini sebagai the barbarism of specialisation (kebarbaran pengkhususan), iaitu keadaan apabila specialisation (pengkhususan) dan fragmentation of learning (pemecahan ilmu) melahirkan golongan yang tidak seimbang serta tidak menyeluruh pengetahuannya. José Ortega menulis:
Pakar itu ‘mengetahui’ dengan sangat baik sudut kecil alam semesta yang dikhususkan kepadanya; namun dia pada hakikatnya amat jahil tentang keseluruhan yang lain.
Buku ini juga menghidangkan wacana Islam terkini yang progresif dengan mengharmonikan pandangan alam dan pemikiran kontemporari dan tradisi. Pembaca diperkenalkan dengan perbahasan ilmu yang menyeluruh bagi memahami dinamika dan realiti dari pelbagai perspektif seperti pengajian berdasarkan geografi merangkumi Afrika, Asia, Amerika Latin dan Nusantara termasuk pengajian berdasarkan disiplin seperti Islam, China, India, oksidental, oriental dan lain-lain.
YB Senator Dr. Zulkifli Hasan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).