Diterbitkan pada 29 November 2025, 09:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sebanyak tujuh orang pelajar berjaya memperoleh keputusan mumtaz mutamayyiz cemerlang tertinggi dalam Ithbat KAFA Pratahfiz (IKP) 2025.

Pengumuman keputusan tersebut disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar di Kompleks Islam Putrajaya pada Rabu lalu.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, instrumen IKP telah diperakukan dalam Persidangan Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK), MKI Kali Ke-62, untuk dilaksanakan mulai tahun 2025.

“Melalui instrumen ini, murid akan dinilai melalui pentaksiran hafazan surah yang ditetapkan, dan pencapaian yang melepasi tahap Ithbat (إثبات) akan direkodkan dalam Sijil Ithbat KAFA Pratahfiz,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, “IKP dilaksanakan bagi mencapai beberapa matlamat, iaitu untuk melahirkan murid berkemampuan menghafaz juzuk 30 dan mengaplikasikan pengajaran al-Quran dalam kehidupan seharian.

“IKP membentuk generasi rabbani sebagai pelapis kepimpinan ummah yang profesional, berdisiplin dan berpengetahuan pelbagai bidang,” jelasnya.

Jelasnya lagi, murid KAFA Pratahfiz diwajibkan mengikuti pembelajaran Hifz al-Quran di samping mata pelajaran KAFA yang lain.

“Pentaksiran hafazan dilaksanakan ketika peringkat tahun 3, tahun 4 dan tahun 5, manakala penilaian akhir dilakukan pada tahun 6 oleh guru KAFA yang berpengalaman dalam pengajaran Hifz al-Quran,” maklum beliau.

Sebagai rekod, pelaksanaan program rintis bagi peperiksaan ini bermula di Melaka sejak tahun 2020.

Bagi tahun 2025, sebanyak 77 orang calon telah berdaftar dan hadir bagi penilaian IKP dari empat buah sekolah iaitu SRA JAIM Jelatang, SRA JAIM Tanjung Minyak 2, SRA JAIM Sungai Putat dan SRA JAIM Taman Maju.

YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin berkata, secara keseluruhannya, pencapaian calon sangat memberangsangkan dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.09, berdasarkan laporan penilaian melibatkan empat pusat peperiksaan IKP di Melaka.

“JAKIM optimis bahawa pelaksanaan IKP dapat diperluas ke seluruh negara demi memastikan semua anak di Malaysia menerima pendidikan asas agama yang terbaik, teratur dan berkualiti,” ujarnya.

Kredit Foto: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi