Diterbitkan pada 28 November 2025, 13:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah berkata, ‘Betapa banyak (yang pernah terjadi) golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Allah (sentiasa) bersama-sama orang yang sabar.’”

(Surah al-Baqarah 2:249)

Perang Yarmuk berlaku pada bulan Jamadilakhir tahun 15 Hijrah, bersamaan tahun 636 Masihi di Lembah Yarmuk, berdekatan sempadan Syam. Peperangan ini menyaksikan tentera Islam menentang tentera Rom Byzantin yang merupakan kuasa besar dunia ketika itu.

Peperangan ini berpunca daripada penguasaan wilayah oleh tentera Islam ke atas Syam yang dikuasai oleh Empayar Byzantin. Peristiwa ini telah mengejutkan Empayar Byzantin, lalu Maharaja Heraclius mengerahkan pasukan tenteranya untuk mengusir tentera Islam dari wilayah tersebut.

Menurut catatan Ibn Kathir dalam karyanya al-Bidayah wa al-Nihayah, pergerakan tentera Rom disertai dengan kelengkapan yang hebat dan pasukan yang besar, dianggarkan melebihi 240 000 orang berbanding dengan tentera Islam hanya sekitar 30 000 orang. Mereka bertindak dengan niat untuk menghancurkan Islam dan merampas kembali bumi Syam daripada umat Islam.

Melihat ancaman besar tersebut, Khalifah Umar bin al-Khattab r.a. telah mengutus panglima tentera Islam, Khalid bin al-Walid r.a. untuk menyatukan pasukan Islam dari pelbagai wilayah dan mengatur strategi pertahanan. Khalid bin al-Walid r.a. telah menyusun barisan tentera Islam dengan penuh hikmah, membahagikan tentera Islam kepada beberapa sayap di bawah pimpinan panglima yang berpengalaman seperti Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah r.a., ‘Amru bin al-‘As r.a. dan Yazid bin Abu Sufyan r.a.

Peperangan ini berlangsung selama enam hari. Tentera Islam telah menunjukkan keberanian luar biasa walaupun bilangannya jauh lebih kecil. Mereka yakin akan janji Allah SWT dan tidak gentar berhadapan dengan musuh yang banyak demi menegakkan panji Islam. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “… dan sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong agama Nya (agama Islam). Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”

(Surah al-Hajj 22:40)

Dengan izin Allah SWT, tentera Islam akhirnya memperoleh kemenangan. Tentera Rom mengalami kekalahan teruk dan sebahagian besar daripadanya terbunuh. Perang Yarmuk bukan sekadar kemenangan ketenteraan, tetapi melambangkan kemenangan iman atas kekufuran. Perang ini hakikatnya mengandungi pelbagai pengajaran berharga yang wajar dijadikan iktibar dalam usaha membina kekuatan umat Islam pada hari ini.

Pertama: Kemenangan merupakan ketentuan Allah SWT.

Meskipun tentera Islam jumlahnya jauh lebih kecil berbanding dengan tentera Rom, tentera Islam diberikan kemenangan kerana kekuatan iman dan keyakinan terhadap janji Allah SWT. Hal ini mengingatkan kita bahawa kekuatan umat Islam tidak hanya bergantung pada kehebatan senjata, teknologi atau strategi, sebaliknya didorong oleh kekuatan iman serta kebergantungan dan keyakinan kita kepada Allah SWT.

Kedua: Perpaduan dan disiplin ialah asas kejayaan.

Khalid bin al-Walid r.a. selaku panglima tentera Islam berjaya menyatukan dan mendisiplinkan semua pasukan tentera Islam di bawah satu kepimpinan. Setiap sahabat yang berjuang bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi untuk mengangkat martabat Islam. Kemenangan Perang Yarmuk tidak akan tercapai jika umat Islam berpecah dan bertelingkah sesama sendiri. Oleh itu, bilangan umat Islam yang banyak tidak memberikan apa-apa makna andai terus berpecah, lantas menjadi lemah sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “‘Akan tiba suatu masa apabila bangsa lain akan mengerumuni kamu seperti orang yang sedang mengerumuni talam makanan mereka.’ Para sahabat bertanya: ‘Apakah kerana sedikitnya jumlah kami ketika itu?’ Baginda menjawab: ‘Tidak, bahkan kamu banyak ketika itu, tetapi kamu seperti buih di lautan… .’”

(Hadis riwayat Abu Dawud, no. 4297)

Ketiga: Kepimpinan yang berwibawa membawa kekuatan.

Gandingan Khalifah Umar bin al-Khattab r.a. dengan Khalid bin al-Walid r.a. menunjukkan contoh kepimpinan yang adil, tegas, dan amanah. Umat Islam hanya akan mencapai kemenangan apabila pemimpin dan rakyat bersama-sama berpegang pada prinsip Islam yang murni, bukan berpaksikan hawa nafsu dan kepentingan duniawi.

Keempat: Strategi dan perancangan yang bijak.

Khalid bin al-Walid r.a. bijak mengatur strategi, menggunakan kedudukan geografi, angin dan medan peperangan. Tindakan beliau mengajar kita bahawa Islam menuntut umatnya sentiasa merancang dengan bijaksana, berilmu dan bersedia menghadapi segenap perkara, sama ada menangani cabaran ekonomi, pendidikan atau akidah.

Perang Yarmuk penting bagi sejarah dunia kerana peristiwa ini menjadi gelombang besar penguasaan Islam di kawasan luar Semenanjung Tanah Arab dengan berlandaskan semangat juang yang tinggi serta kekuatan iman kepada Allah SWT.

Marilah kita merenung sejenak, apakah kita masih memiliki semangat juang yang sama untuk mempertahankan Islam pada hari ini? Atau kita telah menjadi lemah serta mudah tunduk kepada ancaman musuh? Sesungguhnya, Islam hanya akan bangkit apabila umatnya memiliki keberanian dan keimanan yang teguh sebagaimana perjuangan para sahabat di medan Perang Yarmuk. Sehubungan dengan itu, umat Islam perlu mengambil perhatian terhadap perkara seperti yang berikut:

Pertama: Setiap urusan hendaklah dilakukan dengan penuh keyakinan kepada Allah SWT, yang menjadi penentu kejayaan.

Kedua: Umat Islam hendaklah sentiasa bersatu kerana kesatuan akan menguatkan ummah.

Ketiga: Pemimpin hendaklah memiliki pengetahuan dan bijak merancang strategi ketika menghadapi musuh.

Keempat: Umat Islam perlu berkorban dengan penuh keikhlasan demi menegakkan kalimah Allah SWT.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 28 November 2025, bertajuk “Ibrah Peperangan Yarmuk: Lambang Kekuatan Umat Islam”)

Kredit Foto: syassakii
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi