Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAgama tidak pernah lahir sekadar menjadi pakaian yang disarung pada tubuh seumpama kain yang menutupi cela, sementara hati kering-kontang daripada makna. Agama juga tidak datang dengan alunan bacaan ayat suci tanpa kefahaman atau untaian hukum-hakam yang dipetik hanya untuk menuding jari pada kesalahan orang lain. Pada hakikatnya, agama ialah jalan hidup yang menyatukan diri dengan adab dan akhlak, rasa takut dan cinta kepada Tuhan, sekali gus kasih dan amanah terhadap manusia.
Namun begitu, dalam masyarakat hari ini, makna agama semakin disempitkan kepada soal ibadah, kefasihan bacaan dan hafalan ayat suci al-Quran, serta hadis yang dicerna pada lidah, tetapi tidak dihidupkan dalam kehidupan seharian. Inilah penyempitan makna yang akhirnya meranapkan rumah tangga, sebuah institusi yang sepatutnya menjadi madrasah pertama bagi pasangan suami isteri. Rasulullah SAW berpesan melalui sabdanya yang bermaksud:
Seorang wanita dinikahi kerana empat perkara: hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka, hendaklah kamu memilih wanita yang beragama, itulah pilihan terbaik.
(Hadis riwayat al-Bukhari, no. 5090; riwayat Muslim, no. 1466)
Dalam hadis yang lain, Baginda turut menegaskan yang bermaksud:
Apabila datang kepada kamu seorang lelaki yang kamu puas hati dengan agama dan kelakuannya, maka kahwinkanlah dia. Jika kamu tidak melakukannya, akan berlaku fitnah di atas muka bumi dan kerosakan yang besar.
(Hadis riwayat al-Tirmidzi, no. 1084)
Sayangnya, agama yang dijadikan neraca dalam pemilihan pasangan sering difahami dalam bentuk yang sempit. Agama tidak lagi ditafsirkan sebagai keluhuran budi, kelembutan hati dan kejujuran akhlak, tetapi lebih diukur pada penampilan luaran. Apakah dia mampu mengalunkan ayat al-Quran secara tartil?
Apakah dia digelar ustaz atau ustazah?
Apakah penampilannya kelihatan islamik?
Benar, penampilan dan ilmu sebahagian daripada agama, tetapi agama yang hakiki tidak terhenti pada syiar. Sebaliknya agama merangkumi amal yang membentuk akhlak mulia, seterusnya menjadi sendi rumah tangga.
Agama yang Sempit, Rumah Tangga yang Pincang
Bayangkan sebuah rumah. Tiangnya tegak, warnanya indah, lampunya terang, tetapi asasnya rapuh. Binaannya kelihatan gagah di luar, namun retak di dalam. Sekali ribut datang, robohlah strukturnya. Begitulah rumah tangga yang dibina atas makna agama yang sempit. Majlis akad nikah mungkin meriah dengan syiar pada awalnya, tetapi setelah sehari, sebulan atau setahun, kebahagiaan mula pudar. Agama yang dipegang itu tidak diterjemahkan dalam akhlak, lantas tenggelam dalam badai rumah tangga.
Si suami lupa bahawa agama menuntut kelembutan. Tangan yang sepatutnya membelai berubah menjadi tangan yang menyakiti. Si isteri dan suami juga lupa bahawa agama menuntut kesetiaan. Lisan yang sepatutnya menjadi penyejuk hati bertukar menjadi panah yang melukai. Sikap toleransi dan saling membantu yang diuar-uarkan dalam kisah Nabi Muhammad SAW dengan Sayidatina Aisyah r.a. serta Sayidina Ali r.a. dengan Sayidatina Fatimah r.a. hanya tinggal cerita dalam bualan dan ceramah, jauh sekali menjadi amalan di rumah.
Penyempitan Agama Menjadi Punca Keruntuhan
Terdapat tiga keadaan utama yang menjadi punca penyempitan makna agama sehingga boleh meruntuhkan institusi rumah tangga.
Pertama: Agama disempitkan pada ibadah.
Seorang suami mungkin rajin berjemaah di masjid dan fasih berdoa, tetapi gagal menzahirkan kasih sayang dalam rumah tangga. Dia menuntut hak sebagai pemimpin, tetapi melupakan amanah untuk memimpin dengan adil. Bagi dirinya, agama hanyalah solat dan puasa, tidak sampai kepada ihsan dalam layanan dan rahmat dalam kepimpinan.
Kedua: Agama disempitkan pada pengetahuan hukum-hakam.
Banyak daripada mereka yang mahir mengungkap dalil, menghafal kitab fiqah dan cekap mematahkan hujah orang lain, tetapi gagal mempraktikkan nilai kasih sayang. Gelaran dan kelebihan yang dimiliki tidak menjamin rumah tangga yang sejahtera jika tidak mampu menahan ego dan menundukkan nafsu. Yang tinggal hanya pertengkaran untuk memenangkan diri masing-masing, bukan untuk mencari damai.
Ketiga: Agama disempitkan pada penampilan luaran.
Tatkala penilaian agama seseorang diukur pada pakaian, terjadilah perkahwinan yang kelihatan sempurna pada zahir. Walau bagaimanapun, setelah pintu rumah ditutup, tersingkap hakikat yang dipenuhi amarah yang membara dan hati yang tidak sabar. Rasulullah SAW sudah mengingatkan bahawa ukuran penampilan seseorang terletak pada agama dan akhlaknya.
Penyempitan makna inilah yang akhirnya menimbulkan keretakan dalam rumah tangga. Statistik penceraian dalam negara yang semakin meningkat tidak dapat dipisahkan daripada kegagalan memahami agama sebagai akhlak dan cara hidup. Betapa banyak kes penceraian berpunca daripada suami yang gagal menafkahi dengan adil, isteri yang tidak sabar menghadapi kesusahan, pasangan yang lebih mengutamakan ego daripada musyawarah.
Agama yang Luas, Rumah Tangga yang Teguh
Apabila agama difahami secara menyeluruh, merangkumi ibadah dan akhlak, syariat dan rahmat, ilmu dan adab, rumah tangga akan berdiri teguh. Rumah tangga menjadi medan ibadah. Suami melihat isteri sebagai amanah Allah, isteri melihat suami sebagai pemimpin yang perlu ditaati. Anak-anak pula membesar dalam suasana kasih sayang kerana agama itu hidup dengan sekecil-kecil perbuatan kebaikan.
Rasulullah SAW diutus untuk menyempurnakan akhlak. Baginda bukan sahaja teladan dalam konteks ibadah, tetapi juga contoh terbaik dalam hubungan keluarga: suami yang menyuap isterinya, ayah yang bermain dengan cucu-cucunya, serta pemimpin yang mendengar keluhan umatnya. Baginda ialah “agama yang hidup”. Namun begitu, umatnya pada hari ini menjadikan agama beku terkurung dalam ibadah, terhijab pada penampilan dan terpisah daripada kehidupan.
Rumah tangga yang binasa akibat penyempitan makna agama merupakan cerminan kegagalan masyarakat memahami agama dalam kehidupan berumah tangga. Ceramah agama sering menumpukan isu aurat, halal haram pada makanan atau bidaah dalam ibadah, tetapi kurang menekankan akhlak suami isteri, adab berumah tangga dan kasih sayang dalam pergaulan. Sedangkan inilah inti agama yang bakal menyelamatkan rumah tangga.
Sudah tiba masanya untuk kita membuka kembali makna agama yang sebenar. Agama mesti difahami sebagai cara hidup yang menyeluruh dari solat di masjid hingga layanan di dapur, dari zikir pada lidah hingga sabar dalam hati, dari bacaan al-Quran hingga senyuman kepada pasangan.
Kesimpulannya, agama tidak boleh dipenjarakan dalam aspek ibadah semata-mata. Agama ialah akhlak, rahmat dan cara hidup. Rumah tangga hanya akan kukuh sekiranya agama difahami dalam keluasan ini. Rasulullah SAW telah memberikan panduan agar memilih pasangan kerana agamanya, yakni akhlak, kelakuan dan takwanya yang zahir dalam kehidupan seharian. Jika agama terus disempitkan pada gelaran dan penampilan, rumah tangga akan terus binasa dan masyarakat akan menanggung luka. Agama ialah cahaya yang menyinari akhlak, hubungan suami isteri dan didikan anak-anak. Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
(Surah al-Rum 30:21)