Diterbitkan pada 18 November 2025, 11:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Tabung Haji (TH) meluluskan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim haji 1447 Hijrah kepada tambahan tiga agensi pelancongan, iaitu Citra Travel & Tours Sdn. Bhd., Glocal Travel & Tours Sdn. Bhd. dan MKM Ticketing Travel & Tours Sdn. Bhd.

Penambahan itu menjadikan bilangan PJH yang dilesenkan bagi musim haji 1447 Hijrah berjumlah 34 PJH.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Jabatan Haji TH, YBrs. Tuan Haji Mohd. Hisham Harun dalam sidang media Majlis Prapelancaran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan ke-4 (KHUP4), di sini pada 17 November 2025.

Terdahulu, TH bersama-sama Bumitra Malaysia mengumumkan bahawa KHUP4 akan berlangsung dari 28 November hingga 30 November 2025 di Hotel dan Pusat Konvensyen Movenpick, Sepang.

Karnival ini merupakan platform untuk masyarakat mendapatkan maklumat tepat, telus dan terkini tentang pakej haji, umrah dan pelancongan yang ditawarkan oleh 34 PJH berlesen di bawah seliaan TH.

Menurut Tuan Haji Mohd. Hisham, penganjuran KHUP4 bukan sekadar pameran, bahkan merupakan sebuah platform ilmu, pengalaman dan komuniti haji, umrah serta pelancongan.

“Karnival ini akan memberikan peluang kepada bakal haji untuk membuat pilihan pakej haji mengikut kemampuan dan keselesaan masing-masing,” tambah beliau.

Antara tarikan KHUP4 termasuklah Program Bual Bicara dan Podcast TH, Simulasi Haji Cilik, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, persembahan artis nasyid seperti Raihan, Inteam dan Mawi, serta penampilan istimewa karakter Omar dan Hana, di samping kuiz interaktif, cabutan bertuah dan Bazar Karnival.

Pelbagai pakej ekonomi di bawah RM55,000 turut ditawarkan oleh PJH berlesen. Orang ramai boleh merujuk e-Brosur Pakej Haji 1447H/2026M melalui laman rasmi www.tabunghaji.gov.my.

“TH menyeru semua PJH memanfaatkan peluang KHUP4 untuk memperkenalkan pakej dan memberikan kefahaman jelas kepada masyarakat.

“Semoga usaha bersama ini memperkukuh ekosistem haji negara dan membantu para Duyuf al-Rahman mencapai haji yang mabrur,” ujar Tuan Haji Mohd. Hisham.

Semasa sidang media tersebut, beliau juga memberitahu lebih 26 000 surat tawaran haji bagi musim 1447 Hijrah/2026 telah dikeluarkan oleh TH, selepas bakal jemaah memenuhi syarat simpanan minimum RM15,000 dalam akaun masing-masing.

Jelas beliau, surat tawaran hanya dikeluarkan apabila bakal jemaah memenuhi keperluan istita‘ah yang merangkumi aspek kewangan dan kesihatan.

“Sekiranya giliran jatuh pada tahun ini, tetapi simpanan belum mencapai RM15,000, TH tidak akan mengeluarkan surat tawaran.

“Hal ini untuk memastikan jemaah benar-benar bersedia tanpa beban kewangan,” tambah beliau.

Menurut Tuan Haji Mohd. Hisham lagi, daripada kira-kira 45 000 orang bakal jemaah yang sampai giliran untuk musim ini, mereka masih mempunyai ruang menambah simpanan bagi melayakkan diri menerima tawaran haji.

“TH turut membuka rayuan dengan keutamaan kepada tiga kategori, rayuan mahram, pengiring bagi jemaah berusia 75 tahun ke atas, dan jemaah orang kurang upaya (OKU), manakala permohonan lain dipertimbangkan berdasarkan merit,” jelasnya lagi.

Turut hadir, Ketua Bahagian Agensi Haji TH, YBrs. Tuan Haji Anuar Ahmad; Presiden Bumitra Malaysia, YBrs. Dr. Wan Muhamad Adam Wan Norudin; dan Pengarah Projek, Encik Ab. Rahman Mohd. Ali.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi