Diterbitkan pada 13 November 2025, 09:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan tegas Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menahan sekumpulan individu yang dipercayai terlibat dengan ajaran menyeleweng, dikenali sebagai Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, langkah tersebut penting dan tepat pada masanya bagi mengekang penyebaran fahaman yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunah Waljamaah di negara ini.

“Isu penyimpangan akidah bukan hanya soal penguatkuasaan, tetapi juga soal pemeliharaan kesucian Islam dan keselamatan akidah umat,” jelas beliau dalam kenyataan, semalam.

Menurut beliau, JAKIM akan terus memperkukuh kerjasama dengan jabatan agama Islam negeri bagi memastikan tindakan terhadap ajaran sesat dilaksanakan secara selaras dan bersepadu di seluruh negara.

Beliau turut menyeru umat Islam agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan individu atau kumpulan yang mendakwa memiliki keistimewaan agama tertentu atau membawa ajaran di luar kebiasaan.

Tambahnya, “Masyarakat boleh mendapatkan panduan daripada pihak berkuasa agama sebelum menyertai mana-mana kumpulan dan salurkan maklumat jika mengesan aktiviti mencurigakan yang boleh mengancam akidah.”

“Kerajaan MADANI komited untuk memperkukuh pendekatan dakwah, pendidikan dan penguatkuasaan demi memastikan umat Islam kekal berpegang teguh pada ajaran Islam yang sahih berpaksikan al-Quran, sunah, ijmak dan qias,” tegas beliau.

Ujarnya, penahanan oleh JAIP baru-baru ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa agama negeri bagi membanteras penyebaran ajaran sesat yang boleh menggugat akidah dan perpaduan umat Islam di negara ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi