Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjelaskan bahawa 80 orang murid dari Sekolah Rendah Islam Al-Afsari, Saujana Putra gagal menduduki Ujian Penilaian al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2025 kerana belum berdaftar dengan Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selaku agensi pelaksana Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada peringkat negeri Selangor.
Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihak JAIS telah mengesahkan bahawa Sekolah Rendah Islam al-Afsari di Saujana Putra, Puchong belum berdaftar di bawah JAIS serta beroperasi tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Jelas beliau, keadaan ini menyebabkan sekolah tersebut tidak memenuhi kriteria pendaftaran sekolah agama Islam swasta di Selangor sebagaimana diperuntukkan di bawah Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Selangor 1988.
“Surat rayuan daripada pihak sekolah telah diterima pada 15 Oktober 2025 bagi memohon pertimbangan agar murid berkenaan dibenarkan menduduki peperiksaan tersebut.
“Hasil semakan mendapati murid-murid yang terlibat tidak didaftarkan sebagai calon UPKK Tahun 2025 melalui sistem rasmi pendaftaran calon, iaitu Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI),” jelas beliau dalam kenyataan, hari ini.

Bagi menjelaskan keadaan ini, JAKIM memaklumkan bahawa agensi tersebut telah mengadakan pertemuan rasmi dengan pihak sekolah pada 3 November 2025.”
Dalam pertemuan tersebut, JAKIM menjelaskan bahawa peperiksaan UPKK dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) peperiksaan peringkat kebangsaan yang ditetapkan oleh Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) dan tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1942, bagi menjamin kerahsiaan dan integriti peperiksaan.
Semua calon UPKK Tahun 2025 telah didaftarkan dan diberikan nombor giliran melalui SIMPENI sebelum pelaksanaan ujian lisan.
“Ujian Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) telah selesai dilaksanakan antara 7 April hingga 12 September 2025, manakala ujian lisan al-Quran (UPKK01) telah dijalankan antara 22 September hingga 17 Oktober 2025.
“Markah bagi kedua-dua komponen ini telah dikumpulkan di peringkat daerah oleh Setiausaha Peperiksaan (SuP) dan ujian bertulis UPKK dijadualkan berlangsung pada 17 November hingga 20 November 2025, dan semua kertas peperiksaan telah diedarkan ke seluruh negeri berdasarkan bilangan calon serta pusat peperiksaan yang berdaftar,” jelasnya.
Dalam pertemuan yang dijalankan, pihak JAKIM turut diberi maklum bahawa perakuan pendaftaran hanya boleh diberikan sekiranya tiga sokongan agensi berkaitan telah dipenuhi, sebagaimana digariskan dalam Garis Panduan Pengurusan Am (Pendaftaran dan Penubuhan) serta tertakluk kepada Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam 1988 (Pindaan 2001).
Kata beliau, pihak sekolah disarankan untuk segera mendapatkan kelulusan daripada ketiga-tiga agensi sokongan tersebut kerana operasi tanpa pendaftaran sah adalah tidak dibenarkan.
“JAKIM dan JAIS turut menasihatkan pihak sekolah, agar mempertimbangkan langkah memindahkan murid yang terlibat ke sekolah yang berdaftar di bawah pihak berkuasa agama negeri, di samping mengambil langkah mendaftarkan mereka sebagai calon menumpang bagi tujuan peperiksaan UPKK,” kata YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin.
Beliau turut meminta pihak sekolah meneliti semula semua keperluan dan tatacara pendaftaran supaya perkara seumpama ini tidak berulang.
JAKIM sentiasa berpegang pada prinsip bahawa pelaksanaan peperiksaan UPKK perlu dijalankan dengan tertib, berintegriti dan adil kepada semua calon di seluruh negara.
“Segala prosedur dan ketetapan rasmi perlu dipatuhi bagi memastikan kelancaran serta keseragaman pelaksanaan peperiksaan di seluruh negara,” ujarnya lagi.