Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Semarak wacana keilmuan terus kukuh apabila Universiti UCYP menerima kunjungan ulama tersohor dari Universiti al-Azhar, Profesor Dr. Afiyyah Mustafa Muhammad Husaini dalam program Pidato Ulama al-Azhar yang berlangsung di Dewan Auditorium pada Selasa.
Beliau yang juga profesor di Fakulti Usuluddin dan Dakwah, Universiti al-Azhar tampil dalam program itu menyampaikan pidatonya bertajuk “Pendekatan Manhaj Wasatiyah dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini.”
Program itu menyaksikan kehadiran lebih daripada 150 orang peserta terdiri daripada barisan pensyarah Universiti UCYP, mahasiswa Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA MARA), mahasiswa Kolej Yayasan Pahang, para pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang dan Maahad Turath Negeri Pahang.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar dan Diplomasi Komuniti), Universiti UCYP, YBrs. Penolong Profesor Dr. Ahmad Fared Mohd Din, pihak universiti sentiasa mendukung penganjuran program keilmuan seumpama ini yang sarat dengan ilmu dan hikmah.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa pidato ini memberikan peluang kepada peserta untuk menimba ilmu daripada tokoh ilmuwan Islam, kelahiran universiti yang kaya dengan khazanah turath serta memperluas kefahaman nilai Islam yang seimbang antara duniawi dengan ukhrawi.
Sementara itu, Dr. Afiyyah Mustafa dalam sesi perkongsiannya berkata, individu yang menuntut ilmu hakikatnya tumbuh dalam keadaan beribadah kepada Allah SWT serta meraih naungan-Nya pada hari kiamat kelak.
“Penuntut ilmu juga perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati tatkala menggunakan teknologi dan media sosial pada hari ini.
“Hal ini lantaran daripada kemudahan tersebut amat melalaikan dan mencuri masa serta umur kita,” ujarnya lagi.
Program anjuran Pejabat Exco Negeri Pahang dengan kerjasama Pusat Pembangunan dan Diplomasi Komuniti, Universiti UCYP ini turut memberikan pendedahan tentang kepentingan memahami pengetahuan agama dengan pegangan prinsip wasatiyah, di samping menekankan empat teras utama menuntut ilmu, iaitu guru, pelajar, kurikulum dan isi pembelajaran, serta pendekatan atau alat bantu mengajar.
Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Presiden Pertubuhan Ikatan Madrasah Pahang, YBhg. Dato’ Maulana Wan Helmi Wan Mohamed; Ketua Eksekutif, Kolej Yayasan Pahang, YBrs. Puan Suzana Awang dan Timbalan Naib Canselor (Akademik), Universiti UCYP, YBrs. Penolong Profesor Ts. Dr. Mohd. Hamisa Abdul Hamid.
