Diterbitkan pada 22 Oktober 2025, 19:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nilai – Program Syarahan Perdana Pengajian Hadis dalam Pengurusan Maklumat yang berlangsung di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia pada Rabu mengupas kepentingan pendekatan kontemporari dalam pengkategorian hadis Nabi Muhammad SAW.

Penganjuran syarahan itu menampilkan tokoh ulama hadis terkemuka dari Jordan, iaitu Syeikh Dr. Hammam Abdul Rahim, pengarang Mawsu‘ah Ahadith al-Qiyam (Ensiklopedia Hadis Nilai) yang kini sedang diterjemahkan melalui projek penerbitan bersama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Syarahan yang bertajuk “Ensiklopedia Hadis: Nilai dalam Pembangunan Ummah MADANI” tersebut diadakan bersempena dengan lawatan rasmi beliau ke Malaysia ketika ini.

Perkongsiannya memperlihatkan keperluan mengangkat kembali kefahaman dan penghayatan hadis Nabi Muhammad SAW dalam konteks semasa menerusi hubungan dengan disiplin ilmu moden seperti sains, ekonomi, pendidikan dan alam sekitar.

Syarahan itu juga menekankan bahawa penyusunan semula tema hadis adalah wajar bagi memudahkan capaian kajian para penyelidik dan generasi moden, berbanding dengan pengelasan secara konvensional berdasarkan bab fiqah dalam kitab klasik.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan menyifatkan kehadiran tokoh hadis sebagai satu penghormatan besar buat negara dan bukti komitmen berterusan pihak universiti serta kerajaan mengangkat martabat ilmu hadis ke peringkat lebih tinggi.

“Kepakaran beliau dalam bidang hadis amat diperlukan dan diyakini mampu memberikan manfaat besar kepada penyatuan dan kecemerlangan ummah,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.

“Beliau dikenali dengan kefahaman yang mendalam terhadap teks hadis, keluasan pengetahuan tentang manhaj para muhaddith, serta kesungguhannya menghubungkan warisan sunah nabawiyah dengan realiti semasa secara berterusan,” ujarnya lagi.

Menurut Dr. Zulkifli, penghasilan karya Mawsu‘ah Ahadith al-Qiyam menjadi mimbar ilmiah yang menyusun semula khazanah ilmu hadis, menonjolkan nilai dan prinsip yang terkandung di dalamnya, sekali gus menyumbang kepada pembinaan masyarakat MADANI berteraskan nilai Islam.

“Karya ilmiah agung ini mencerminkan semangat ijtihad dan tajdid berinteraksi dengan warisan hadis, serta memberikan contoh rohani yang unggul kepada generasi masa hadapan untuk menggabungkan keaslian teks dengan dinamika zaman,” katanya.

Beliau menambah bahawa dalam dunia yang sarat dengan cabaran maklumat palsu dan krisis moral, pemahaman yang benar terhadap hadis menjadi benteng kestabilan akidah dan akhlak umat.

“Hal ini menjadi tanggungjawab para agamawan sebagai pahlawan di barisan hadapan dengan berbekalkan kefahaman mendalam terhadap sunah Nabi Muhammad SAW, memperbetul pemikiran dan akhlak masyarakat.

Sehubungan dengan itu, kerajaan menggalakkan penganjuran majlis periwayatan hadis secara besar-besaran seperti tradisi Majlis Sama‘ Hadis yang dilaksanakan secara tahunan.

Mengulas lanjut, beliau turut mengumumkan bahawa Majlis Sama‘ Hadis Sahih Muslim akan diadakan pada 29 November ini dan dijangka melibatkan kehadiran Perdana Menteri dan barisan anggota kabinet, sebagaimana penganjurannya pada tahun lalu.

Sementara itu, majlis tersebut menyaksikan pelancaran kumpulan penyelidikan Markaz al-Bath li al-Hadith al-Nabawi (MARBAWI), iaitu satu daripada inisiatif USIM bagi memperkukuh kedudukannya sebagai pusat rujukan ilmu, khususnya dalam bidang pengkajian hadis, di samping mengembangkan jaringan akademik antarabangsa.

Program syarahan itu dihadiri oleh Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali;  Naib Canselor USIM, YBrs. Profesor Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani; Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed dan Pengarah Jabatan Penerbitan, YBrs. Encik M. Azahari Edin.

Barisan tetamu kehormat dan para hadirin dalam program Syarahan Umum Pengajian Hadis dalam Pengurusan Maklumat.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi