Diterbitkan pada 28 Disember 2021, 13:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail memuji sikap  sukarelawan dari seluruh pelosok negara yang bersama-sama turun padang membantu  mangsa banjir di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pahang. Baginda menzahirkan penghargaan kepada semua warga Perlis yang terlibat terutamanya sebagai pasukan petugas serta sukarelawan di negeri terbabit. Baginda menghargai semua warga Perlis tidak kira di mana-mana sahaja mereka berada yang telah berkorban dari segi tenaga, masa, mahupun sokongan moral dan penyaluran kewangan.

Pada masa yang sama, baginda turut menyeru rakyat Perlis untuk terus menyalurkan bantuan walau dengan apa-apa jua cara sekalipun sama ada secara langsung atau melalui badan-badan sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Tegas baginda, meskipun negeri ini tidak terjejas oleh banjir pada kali ini, inilah masanya kita membalas budi baik mereka yang telah membantu kita berulang kali ketika negeri Perlis dilanda banjir sebelum ini.

Kita dapat lihat dengan jelas perpaduan dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum dan agama yang tampil menghulurkan pelbagai bantuan baik secara langsung mahupun tidak langsung. Baginda turut difahamkan bahawa terdapat juga masjid dan rumah ibadat yang dijadikan pusat perpindahan sementara bagi mangsa banjir tanpa mengira kaum dan agama. Hal ini menunjukkan rakyat Malaysia sentiasa bersama-sama dan bersatu sama ada semasa suka mahupun duka. Baginda juga menasihati penduduk yang berada di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan mematuhi segala arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga berharap agar sumbangan awal bernilai RM300 000 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) secara terus mahupun dengan kerjasama NGO sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mangsa yang terjejas.

Dalam perkembangan lain, baginda yang diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkenan meluangkan masa menyantuni asnaf, Intan Taib, 76 tahun yang tinggal bersama-sama keluarga di Kg. Wang Ulu, Kangar dan menyampaikan  agihan zakat MAIPs baru-baru ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi