Diterbitkan pada 21 Oktober 2025, 12:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan Arab Saudi mengumumkan bahawa syarat kesihatan untuk menunaikan haji bagi musim 1447H/2026M ialah jemaah haji perlu bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik tidak terkawal, serta berupaya menjalankan ibadah haji sendiri.

Perkara itu dimaklumkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) melalui Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Yang Berusaha (YBrs.) Tuan Haji Mustakim Mohamad.

Beliau berkata, TH sentiasa mengutamakan keselamatan, kebajikan dan keselesaan jemaah haji Malaysia sebagai teras dalam pengurusan operasi haji pada setiap tahun.

Dalam kenyataan baru-baru ini, beliau berkata, “Sepertimana tahun-tahun sebelumnya, TH sememangnya memandang serius dan mengutamakan aspek kesihatan para jemaah haji terutamanya ketika berada di tanah suci.”

Jelas beliau, atas dasar itu, pada setiap tahun TH akan memperuntukkan sebahagian besar petugas tanah suci dalam kalangan petugas perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagi musim haji 1447H/2026M, Mustakim Mohamad berkata,  TH masih menyediakan klinik kesihatan di semua bangunan penginapan jemaah haji di Makkah dan Madinah.

“Setiap bangunan akan dilengkapi dengan klinik pesakit luar dan farmasi yang dikendalikan oleh petugas kesihatan bertauliah dari KKM bagi kesinambungan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada jemaah haji negara, termasuk pengiring kepada jemaah warga emas dan kelainan upaya,” katanya.

Walau bagaimanapun, jelas beliau, pada musim haji 1447H/2026M, TH tidak lagi dibenarkan untuk membuka pusat rawatan di tanah suci.

Bagi jemaah yang memerlukan rawatan lanjut, mereka akan dirujuk ke hospital yang disediakan oleh Kerajaan Arab Saudi dengan bantuan pemantauan rapi oleh pakar perubatan KKM.

Tambah beliau, TH juga telah merancang untuk menyediakan kemudahan kesihatan di hospital swasta Arab Saudi sekiranya perlu.

“TH dengan kerjasama KKM menyediakan 225 petugas kesihatan pada musim haji 1447H/2026M,” katanya.

“Keperluan tahap kesihatan yang baik merupakan salah satu syarat kemampuan mengerjakan haji (istito‘ah) yang sentiasa ditekankan dalam resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan.

Sepertimana syarat menerima tawaran haji sebelum ini, bakal haji perlu lulus pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan pihak KKM.

“TH akan terus memastikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik bagi setiap jemaah haji negara.

“Jemaah haji juga perlu membuat persediaan kesihatan fizikal secukupnya kerana mereka akan berada di Arab Saudi dalam tempoh yang lama dan melalui suasana berdebu dan cuaca yang panas,” tambah Mustakim.

Jemaah haji dianggap tidak layak untuk mengerjakan ibadah haji sekiranya mempunyai keadaan atau penyakit seperti kegagalan buah pinggang kronik, kegagalan jantung atau penyakit jantung serius, penyakit paru-paru kronik, serta penyakit hati kronik.

Mereka yang mempunyai masalah neurologi/mental yang menjejaskan fungsi kognitif/motor, warga emas dengan dementia/fizikal lemah, kehamilan berisiko tinggi, penyakit berjangkit aktif dan penyakit kanser yang sedang dalam rawatan, juga tidak dianggap layak untuk mengerjakan ibadah haji.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi