Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK) yang bernaung bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) disifatkan sebagai langkah bijaksana untuk mencerminkan keprihatinan Majlis Raja-raja dalam memastikan sistem pendidikan Islam di negara ini terus tersusun, berwibawa dan selari dengan keperluan semasa.
Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa inisiatif penubuhan JPPIK memperlihatkan kesungguhan yang berterusan dalam memperkukuh martabat pendidikan Islam agar dapat melahirkan generasi umat Islam yang berilmu, berakhlak mulia dan beradab tinggi.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan ahli JPPIK MKI atas komitmen yang diberikan dalam mempertingkat aspek kurikulum, pentadbiran dan pengajaran pendidikan Islam pada pelbagai peringkat.
Demikian titah baginda selepas berkenan mengetuai Program Kayuhan Amal MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Padang Melangit, Beseri baru-baru ini.
Yang turut mengiringi baginda dalam program tersebut ialah Pengerusi JPPIK MKI, YBhg. Tan Sri Datuk Haji Alimuddin Haji Mohd Dom, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd Ajib Ismail dan Mufti Negeri Johor merangkap Ahli JPPIK MKI, YBhg. Sahibus Samahah Datuk Yahaya Ahmad.
Selain itu, program kayuhan amal ini terus menjadi platform yang berkesan untuk menyantuni golongan asnaf serta memperkukuh hubungan antara institusi agama dengan masyarakat dari peringkat akar umbi di negeri Perlis.
Usaha ini juga bertepatan dengan hasrat MAIPs untuk memastikan pengurusan zakat dilaksanakan secara langsung, cekap dan berkesan kepada golongan sasaran.
Pada masa yang sama, program tersebut turut menggalakkan masyarakat untuk menunaikan zakat menerusi saluran rasmi. Hal ini dapat meningkatkan ketelusan dan kepercayaan orang awam terhadap institusi agama.
Dalam program tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM700.00, Kit MAIPs Peduli dan beras fidyah kepada tiga penerima terpilih.
Antara asnaf yang menerima sumbangan tersebut termasuklah Ismail Mahmud dan Mat Isa Ab Rahman dari Kampung Beseri, serta Hairin Noranwar Hamid dari Kampung Belukar.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga berkenan meluangkan masa bersama-sama dengan ahli Persatuan Penduduk Kampung Belukar yang terlibat dalam aktiviti rekreasi All-Terrain Vehicle (ATV) dan program menaman pokok untuk memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk setempat sambil melestarikan alam sekitar.


Dalam perkembangan lain, Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan menerima sembah menghadap hormat daripada YBhg. Tan Sri Alimuddin dan YBhg. Datuk Yahaya Ahmad pada sebelah malamnya di Kangar. Pertemuan mereka diiringi oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil Akashah.