Diterbitkan pada 15 Oktober 2025, 21:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar para Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk (NCR) di seluruh negeri menjauhi sebarang bentuk salah guna kuasa ketika menjalankan tanggungjawab mereka sebagai penasihat komuniti yang dihormati.

Baginda menegaskan bahawa para Penolong Pendaftar NCR perlu sentiasa memperkukuh nilai integriti, profesionalisme dan kecekapan, khususnya dalam penguasaan teknologi semasa agar urusan pentadbiran perkahwinan Islam dilaksanakan dengan lebih teratur dan efisien.

Menurut DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamallulail lagi, tugas yang digalas oleh para Penolong Pendaftar bukan hanya sekadar melafazkan akad nikah semata-mata, malah merupakan amanah yang besar dalam menyentuh aspek pemeliharaan institusi kekeluargaan Islam, penjagaan ketururunan (nasab), serta memastikan kestabilan sosial dalam masyarakat.

“Dengan komitmen yang tinggi serta amanah yang dijunjung, peranan Penolong Pendaftar NCR akan terus menyinar bukan sahaja di Perlis, malah menjadi contoh teladan kepada tempat-tempat lain dalam memperkukuh institusi kekeluargaan Islam,” titah baginda.

Demikian titah yang disampaikan oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Majlis Muzakarah Penolong Pendaftar Perkahwinan Orang Islam Negeri Perlis Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Warisan, Kangar, baru- baru ini.

Raja Muda Perlis (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Muzakarah Penolong Pendaftar Perkahwinan Orang Islam Negeri Perlis Tahun 2025

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs),YBrs. Puan Maizura Shamsuddin, Mufti Negeri Perlis, Sahibus Samahah Datuk Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), YBhg. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Majlis anjuran JAIPs dengan kerjasama MAIPs serta Jabatan Mufti Negeri Perlis itu turut menyaksikan DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan penyampaian sijil pelantikan kepada 36 orang Penolong Pendaftar yang mewakili seluruh kariah di negeri tersebut.

DYTM Tuanku Syed Faizuiddn Putra Jamalullail menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang Penolong Pendaftar atas sumbangan dan khidmat bakti cemerlangnya.

Pada masa yang sama, majlis  turut diserikan dengan sesi perkongsian ilmu yang merangkumi tiga tajuk utama, iaitu “Tatakelola Pengurusan Pendaftaran Nikah Dalam dan Luar Negara” yang disampaikan oleh Pengarah JAIPs, YBrs. Puan Maizura Shamsuddin; “Integriti Dalam Pengurusan Perkahwinan” oleh wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perlis; serta “Etika Akad Nikah” oleh Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk JAIPs, Encik Ahmad Sirajuddin Abdul Satar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi