Diterbitkan pada 5 Oktober 2025, 13:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap usaha diplomasi Perdana Menteri (PM) Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim membebaskan 23 wira dan wirawati Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza yang telah selamat tiba di Istanbul, Türkiye.

Keberhasilan diplomasi ini mencerminkan komitmen tinggi Malaysia dalam memperjuangkan prinsip kemanusiaan dan solidariti sejagat terhadap rakyat Palestin. Kebebasan ini, membuktikan bahawa pendekatan diplomasi berprinsip yang berteraskan nilai MADANI mampu mengimbangi tuntutan kemanusiaan dan keselamatan nasional dengan penuh wibawa.

Presiden ABIM, Yang Berusaha (YBrs.) Encik Ahmad Fahmi Mohd Samsudin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas kecekapan serta ketegasan diplomasi beliau melalui Wisma Putra dalam memastikan keselamatan semua peserta Malaysia terjamin dan urusan kepulangan aktivis GSF berjalan lancar.

23 wira dan wirawati Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza yang telah selamat tiba di Istanbul, Türkiye.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini Encik Ahmad Fahmi Mohd Samsudin turut menghargai kerjasama erat yang diberikan oleh Kerajaan Türkiye, pihak berkuasa antarabangsa serta badan kemanusiaan yang terlibat dalam proses menyelamat dan memberikan rawatan kepada para aktivis Malaysia, termasuklah bantuan psikologi dan kesihatan yang diberikan sebaik rombongan tiba di Istanbul.

“ABIM mencadangkan agar diplomasi tinggi yang sedang digerakkan oleh Perdana Menteri dapat dimanfaatkan bagi menggesa pembebasan baki tahanan misi GSF dari negara lain yang masih ditahan oleh rejim Zionis Israel.

“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh solidariti antarabangsa tetapi turut memperlihatkan kepimpinan moral Malaysia dalam mempertahankan prinsip kemanusiaan sejagat dan undang-undang antarabangsa,” ujarnya.

Dalam keadaan bersyukur dengan berita gembira ini, beliau menegaskan bahawa tumpuan dan fokus terhadap rakyat Gaza tidak akan berkurang, sebaliknya akan terus diperkukuh.

“Perjuangan untuk menghentikan kekejaman rejim Zionis dan membebaskan Palestin sepenuhnya mesti diteruskan dengan semangat yang lebih kuat dan istiqamah,” tegasnya.

Dalam hal ini, sekali lagi ABIM menegaskan bahawa kejayaan diplomasi ini memperlihatkan Malaysia bukan sekadar melindungi rakyatnya, tetapi turut memainkan peranan sebagai suara moral di pentas antarabangsa dengan menegakkan keadilan, kemanusiaan dan solidariti sejagat terhadap penindasan di Palestin.

Sehubungan itu, Encik Ahmad Fahmi menyarankan agar Malaysia terus menjadi pusat koordinasi diplomasi kemanusiaan serantau dengan melibatkan pertubuhan masyarakat sivil dan rakan antarabangsa bagi memperkukuh jaringan advokasi, bantuan serta misi kemanusiaan berdasarkan panji kemanusiaan sejagat.

“ABIM mendoakan agar semua urusan kepulangan mereka ke tanah air dipermudah dan semangat keberanian mereka menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus berdiri teguh bersama-sama dengan perjuangan rakyat Palestin,” katanya.

Kredit Foto: Facebook Heliza
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi