Diterbitkan pada 2 Oktober 2025, 15:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengarahkan solat hajat dilaksanakan di semua masjid bawah seliaannya selepas solat Maghrib hari ini, manakala bacaan Qunut Nazilah pula selepas solat Jumaat esok.

Arahan tersebut dikeluarkan sebagai tanda solidariti umat Islam Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin serta sokongan kepada pasukan Global Sumud Flotilla (GSF).

Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, pelaksanaan ini turut diselaraskan bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di masjid dan surau seluruh Wilayah Persekutuan.

“Khutbah khas bertemakan ‘Doa dan Solidariti untuk Palestin’ juga akan disampaikan di seluruh Wilayah Persekutuan, sebagai manifestasi kebersamaan umat Islam Malaysia dalam mendukung perjuangan rakyat Palestin dan menyatakan sokongan terhadap pasukan GSF,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, inisiatif ini dizahirkan sebagai tanda solidariti umat Islam di Malaysia bersama-sama saudara seagama di Palestin, di samping menyahut seruan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Arahan ini dibuat susulan tindakan biadab rejim Israel yang memintas dan menghalang pasukan GSF dalam misi kemanusiaan menuju Gaza.

JAKIM dalam kenyataan itu turut menyeru seluruh umat Islam di Malaysia agar bersatu hati memperbanyak doa serta terus teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Tambah beliau, tumpuan diberikan kepada mendoakan keselamatan pasukan GSF, termasuklah rakyat Malaysia yang terlibat, serta kemenangan buat umat Islam di bumi Gaza.

“Semoga dengan doa dan kesatuan usaha ini, Allah SWT melindungi saudara kita di Palestin, mengurniakan kekuatan dan kemenangan kepada mereka, serta menamatkan kezaliman yang berlaku,” katanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi