Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMedan – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke Deli Serdang, Medan bagi menyaksikan sendiri perkembangan pembinaan Auditorium Berkemajuan dan Walidah Sports Hall yang sedang giat dibangunkan di kawasan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) semalam.
Auditorium itu bakal digunakan sebagai Gedung Muktamar Muhammadiyah dan Aisyiyah ke-46 yang dijadualkan berlangsung pada November tahun 2027 kelak.
Projek berimpak tinggi tersebut menelan belanja keseluruhan berjumlah Rupiah Indonesia (IDR) 323 bilion, yang dianggarkan bersamaan hampir RM92.6 juta mengikut kadar tukaran semasa.
Kemudahan itu dijangka menjadi mercu tanda kecemerlangan pendidikan, dakwah, serta kegiatan sosial Muhammadiyah dan Aisyiyah, bukan sahaja di Sumatera tetapi juga di peringkat rantau Asia Tenggara.
Sepanjang lawatan, Baginda berkenan meluangkan masa hampir setengah jam mendengar sembah taklimat mengenai hala tuju projek yang disampaikan oleh Rektor UMSU, Profesor Dr. Agussani. Taklimat tersebut memberi penjelasan mengenai konsep rekabentuk bangunan, fasa pelaksanaan serta potensi kegunaan jangka panjang yang mampu memperkukuh peranan UMSU sebagai pusat kecemerlangan umat Islam.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Umum Muhammadiyah, Profesor Dr. Haedar Nashir, yang menyatakan komitmen penuh pihaknya untuk memastikan pembangunan tersebut disiapkan mengikut jadual dan menjadi kebanggaan warga Muhammadiyah serta umat Islam keseluruhannya.
Kehadiran Baginda Raja Muda Perlis jelas menyerlahkan hubungan erat antara institusi Islam di Malaysia dan Indonesia yang sekian lama terjalin melalui jaringan dakwah, pendidikan dan kebajikan.
Dalam titah ringkasnya, Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan harapan agar pembangunan Gedung Berkemajuan yang sedang dirancang ini akan menjadi mercu tanda baharu bagi kecemerlangan UMSU, selain dapat dimanfaatkan secara optimum dalam jangka masa panjang oleh warga akademik, pelajar, dan masyarakat umum. Baginda turut menekankan bahawa pembinaan gedung berskala besar ini wajar dijadikan pemangkin untuk memperkukuh peranan Muhammadiyah dan Aisyiyah dalam membangunkan modal insan yang seimbang dari sudut rohani, intelektual, dan sosial.
Sebagai tanda kenang-kenangan, Baginda juga berkenan menyempurnakan penanaman pokok durian di kawasan tapak projek. Upacara simbolik itu melambangkan semangat subur persahabatan dan kerjasama yang berpanjangan antara institusi Islam Malaysia khususnya Perlis dan Indonesia, sepertimana pohon yang ditanam diharap tumbuh kukuh, berakar teguh, serta memberi manfaat kepada generasi yang akan datang.
Lawatan Tuanku Raja Muda Perlis ke tapak pembangunan ini bukan sahaja mencerminkan sokongan terhadap usaha besar Muhammadiyah, malah turut menzahirkan aspirasi Baginda agar hubungan ilmiah dan dakwah antara Perlis dan Sumatera terus diperkukuh demi kemaslahatan umat Islam serantau.