Diterbitkan pada 17 September 2025, 20:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bukan sahaja berperanan dalam menguruskan hal ehwal agama seperti zakat, baitulmal, pusaka, wakaf, masjid dan imam, malah turut bertanggungjawab terhadap sejarah, budaya, warisan serta adat istiadat negeri.

MAIK melalui Unit Adat Istiadat telah memberikan tumpuan terhadap Simposium Bahasa dan Persuratan Islam Nusantara sebagai asas kajian hubungan negeri di kepulauan Melayu, dengan fokus khusus Kelantan–Patani.

Sehubungan dengan itu, Simposium Bahasa dan Persuratan Islam Nusantara 2025 dianjurkan di Dewan Wawasan, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG), Kampus Kota Bharu pada 14 hingga 16 September 2025.

Dalam perbincangan ini, turut diketengahkan keberadaan majalah Pengasuh dan peranannya dalam persuratan Islam.

Majalah berusia lebih 100 tahun ini menjadi kebanggaan MAIK dan Malaysia kerana terus mengekalkan penggunaan tulisan jawi.

Seiring dengan komitmen tersebut, sebanyak 30 kertas kerja telah dibentangkan, termasuk oleh Pegawai Adat MAIK, Yang Berusaha (YBrs.) Encik Baharin Ilias yang menghuraikan tajuk “Hukum Kanun Adat Negeri dan Tafahus Kelantan: Satu Penelitian Awal.”

Para jemputan menyaksikan silat sebelum perasmian Simposium Bahasa dan Persuratan Islam Nusantara 2025 yang berlangsung di Dewan Wawasan, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG), Kampus Kota Bharu.

“Pertemuan ilmiah ini diharap dapat memperkukuh kefahaman terhadap sejarah intelektualisme rantau Nusantara, sekali gus menyuntik semangat baharu untuk memperkasakan bahasa dan persuratan Islam pada era digital dan globalisasi,” ujar MAIK.

Dalam konteks semasa, MAIK memaklumkan amat penting untuk memperluas kajian tentang perkembangan Bahasa Melayu dan Persuratan Islam Nusantara, khususnya berkaitan dengan hubungan peradaban Melayu dengan peranan ulama, tokoh persuratan, ilmu pengetahuan, tradisi kesenian serta jaringan kerajaan di rantau ini.

“Sesungguhnya, bahasa dan persuratan ialah nadi peradaban bangsa di alam Melayu, lebih-lebih lagi di bawah naungan Islam,” tambah MAIK lagi.

Simposium ini telah dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua MAIK, Yang Berbahagia (YBhg.) Dato’ Haji Mohd Anis Hussein.

Turut hadir, Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (Peradaban), Yang Berbahagia (YBhg.) Dato’ Haji A. Aziz Deraman; Pengarah IPG Kampus Kota Bharu, YBrs. Dr. Hajah Narita Mohd Noor dan Wakil Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Encik Ikhram Fadhly Hussin.

Kredit Foto: Facebook Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi