Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Global Halal Summit (GHaS) 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur dan Putrajaya dari 16 hingga 26 September 2025 membuka hala tuju baharu pasaran halal dunia dengan tema “Integriti, Kemampanan, Ketahanan”.
Sidang kemuncak anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama-sama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta agensi berkaitan itu menghimpunkan pemimpin industri, penggubal dasar, ahli akademik, badan pensijilan halal antarabangsa dan pengguna dari hampir 50 buah negara.
Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, kejayaan GHaS membuktikan industri halal kini diiktiraf sebagai piawaian global yang diyakini dan menjadi rujukan universal di seluruh dunia.
“Sidang ini bukan sahaja platform pertemuan antarabangsa, malah menzahirkan tanggungjawab bersama untuk membina ekosistem halal yang diyakini, berinovasi serta mampu menghadapi cabaran ekonomi global yang kian dinamik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menambah, acara berprestij ini juga menonjolkan peranan Malaysia yang semakin pesat membangunkan ekonomi halal pada peringkat antarabangsa.
“Seiring dengan itu, GHaS terus menjadi wadah utama untuk memperkukuh peranan Malaysia sebagai peneraju dan rujukan halal dunia,” katanya lagi.
GHaS 2025 menampilkan tiga acara utama anjuran JAKIM, iaitu Konvensyen Badan Pensijilan Halal (HCBC), Program Pembangunan Kapasiti Teknikal Halal Antarabangsa (IHTCDP) dan Ceramah Halal Global (GHT).
“Ketiga-tiga program ini dijadualkan berlangsung dari 16 hingga 17 September 2025 di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur dan berperanan sebagai platform strategik yang bukan sahaja menghimpunkan badan pensijilan halal antarabangsa, pihak industri, ahli akademik serta pihak berkepentingan dalam ekosistem halal, malah turut berperanan sebagai platform wacana berprestij yang membincangkan hala tuju, cabaran dan masa hadapan industri halal dunia,” jelas beliau.
HCBC edisi ke-15 bertema Igniting Excellence: Bridging Halal Worldwide memberi tumpuan kepada isu strategik termasuk fatwa kontemporari halal, pelancongan mesra Muslim, halal forensik, teknologi seiring syarak, keselamatan makanan dan aspek kemampanan global.
“Selain itu, turut akan dikongsikan berkaitan transformasi digital pensijilan halal melalui platform Sistem Lembaga Pihak Berkuasa Halal Antarabangsa Malaysia (MyIHAB) dan Sistem Aplikasi Abattoir Antarabangsa JAKIM (JIAAS) yang dibangunkan bagi mempertingkat kecekapan, ketelusan serta keberkesanan proses pengurusan halalpada peringkat antarabangsa,” katanya.
Program IHTCDP edisi keempat pula bertema “Memperkukuh Kompetensi Teras untuk Kejayaan” yang menampilkan enam sesi khusus bagi memperkasakan kompetensi badan pensijilan halal antarabangsa.
“Program ini berfungsi sebagai platform strategik pemindahan ilmu oleh JAKIM sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat rujukan utama dalam ekosistem halal global,” jelasnya.
“Sidang kemuncak kali ini juga menampilkan satu inisiatif baharu melalui penganjuran GHT yang berperanan sebagai medan wacana berprestij menghimpunkan pandangan strategik daripada kepimpinan tertinggi negara,” katanya.
Penganjuran GHaS 2025 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 19 September di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.