Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengharumkan nama negara apabila menerima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2025 sempena majlis berprestij Anugerah Kewangan Islam Global atau Global Islamic Finance Awards (GIFA) 2025, pada 11 September lalu.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengerusi GIFA 2025, YBhg. Profesor Humayon Dar, di sini.
Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global diberikan sebagai tanda pengiktirafan terhadap sumbangan besar Malaysia dalam pembangunan sistem kewangan Islam pada peringkat antarabangsa.
Dalam ucapannya, YAB Dato’ Seri Anwar menegaskan bahawa penghargaan ini bukan hanya untuk dirinya, bahkan mewakili semua tokoh, penggerak, ahli akademik dan institusi kewangan yang telah lama memperjuangkan perbankan Islam.
Beliau menekankan bahawa kewangan Islam tidak boleh dilihat sekadar sebagai sebuah sistem bebas riba, malah harus menjadi alternatif yang lebih adil, bersifat terangkum dan mampan.
Prinsip maqasid syariah seperti keadilan sosial, kesaksamaan dan penolakan eksploitasi perlu menjadi tunjang agar sistem ini benar-benar membawa manfaat kepada masyarakat.
YAB Dato’ Seri Anwar turut mengingatkan agar kewangan Islam terus bergerak seiring dengan keperluan semasa.
Antara perkara yang ditekankan termasuklah kepentingan inovasi seperti penerbitan Green Sukuk bagi membiayai pelbagai projek lestari, platform digital untuk memperluas kewangan, serta pemerkasaan instrumen sosial seperti zakat dan wakaf untuk membangunkan komuniti.
Bagi Perdana Menteri, kejayaan sebenar kewangan Islam bukan diukur pada jumlah aset semata-mata, tetapi pada kemampuan sistem itu mengubah kehidupan masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan mampan.
Oleh itu, beliau menyeru semua pihak untuk terus melahirkan generasi baharu yang beretika, berprinsip dan komited terhadap nilai Islam.
Dalam konteks global yang kini berhadapan dengan cabaran ketidaktentuan ekonomi, konflik dan ketidakadilan, YAB Dato’ Seri Anwar menegaskan bahawa kewangan Islam boleh menjadi jalan keluar dengan menawarkan sistem yang lebih adil dan berperikemanusiaan.
Tambah beliau, Malaysia telah membuktikan bahawa kewangan Islam bukan sahaja diterima oleh umat Islam, malah turut mendapat sokongan daripada masyarakat bukan Islam kerana sifatnya yang terangkum.