Diterbitkan pada 16 September 2025, 12:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Doha – Sidang Kemuncak Tergempar Arab–Islam pada Isnin menyaksikan Malaysia menyuarakan pendiriannya agar negara Islam mengambil tindakan tegas terhadap Israel menerusi penamatan hubungan diplomatik, penggantungan kegiatan perdagangan dan penegakan hukuman sewajarnya.

Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai delegasi negara dalam sidang kemuncak tersebut menegaskan bahawa tindakan mengeluarkan kenyataan dan kecaman tidak memadai untuk membebaskan Palestin serta menghentikan serangan Israel yang terus bertali arus.

Kata beliau, umat Islam sudah jemu dengan retorik semata-mata kerana mereka menyaksikan kenyataan demi kenyataan dan kecaman demi kecaman tanpa sebarang tindakan, sedangkan kekejaman Israel semakin berleluasa.

Beliau menekankan bahawa generasi akan datang bakal mempersoalkan tindakan dan keberanian dunia Islam pada hari ini untuk bertindak sewajarnya.

“Negara (Islam) yang mempunyai hubungan dengan Amerika Syarikat secara khusus menanggung amanah yang lebih besar,” katanya.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim (tengah) mewakili Malaysia dalam Sidang Kemuncak Tergempar Arab–Islam di Doha, Qatar.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa sebuah ekspidisi flotila ketika ini sedang belayar menuju ke Gaza tanpa sebarang kelengkapan persenjataan membawa harapan misi kemanusiaan kepada penduduk yang terkepung.

“Kita wajib memastikan pelayaran tersebut tiba di destinasinya.

“Sekiranya misi ini sekali lagi dihalang dengan kekerasan, maka kita mengkhianati amanah dan hati nurani kita untuk mempertahankan mereka yang lemah, melindungi mereka yang tertindas dan memberikan makanan kepada mereka yang kelaparan,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai serangan udara terhadap ibu negara Qatar pada 9 September lalu, beliau berkata, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut sebagai rakus, biadab dan tidak boleh dipertahankan sama sekali.

Menurut beliau, serangan tersebut merupakan pencabulan terhadap kedaulatan negara Qatar dan dianggap sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa, selain provokasi berbahaya yang menggugat keselamatan serantau.

“Betapa parahnya jenayah ini dan pencabulan seumpamanya terus meningkat pada saat kita mulai sedar akan peranan penting Qatar sebagai perantara dan perunding perdamaian.

“Di bawah kepemimpinan Sheikh Tamim Hamad Al Thani (Amir Qatar), Qatar menggerakkan usaha dialog ke arah perdamaian dengan sabar, cermat dan bijaksana,” katanya.

Beliau turut menyifatkan serangan terancang Israel yang tidak mengenal sempadan negara jelas bertujuan meruntuhkan iktikad dan usaha murni tersebut.

“Tindakan menyerang Qatar merupakan serangan terhadap kita semua yang mendambakan keamanan dan kestabilan rantau.

“Corak kezalimannya jelas, iaitu menolak sebarang asas peradaban dan menghina tatacara dunia (world order),” jelasnya.

Kata beliau, keputusan Israel yang mengisytiharkan negara Palestin tidak akan pernah wujud mengekalkan sikap bengis rejim itu yang meneruskan aparteid, menolak sebarang campur tangan dan usaha ke arah penyelesaian secara damai.

Beliau menambah, tindakan Israel tersebut benar-benar memaparkan penolakan nyata terhadap setiap resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan penafian hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib dan masa hadapan mereka.

Sementara itu, Sidang Kemuncak Tergempar Arab–Islam diadakan lantaran serangan udara Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang menyasarkan kepimpinan Hamas di sebuah kompleks kediaman kerajaan Qatar ketika bermesyuarat mengenai cadangan gencatan senjata oleh Amerika Syarikat.

Serangan pertama Israel secara langsung di negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) tersebut mengorbankan lima orang pemimpin Hamas dan seorang anggota keselamatan Qatar, selain mencederakan beberapa orang awam.

Kredit Foto: Pejabat Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi