Diterbitkan pada 16 Ogos 2025, 15:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Tabung Haji (TH) menyangkal dakwaan bahawa lembaga tersebut membelanjakan sebanyak RM20 juta bagi tujuan penjenamaan semula.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh lembaga tersebut pada hari ini, dakwaan yang menyatakan bahawa TH tidak perlu berusaha bagi memperkukuh jenamanya yang sudah dikenali ramai setelah 60 tahun beroperasi juga adalah tidak tepat.

Selain itu, pengukuhan jenama telah dilakukan beberapa kali sebelum ini dan merupakan pelaburan penting bagi mengubah minda serta menarik minat umat Islam untuk menabung secara sistematik bagi memenuhi syarat kemampuan menunaikan haji.

TH juga memberitahu bahawa peruntukan perbelanjaan bagi proses peremajaan jenama adalah sejumlah dua juta ringgit setahun bagi tempoh tiga tahun.

Tambah kenyataan media itu lagi,

Proses ini melibatkan tinjauan pasaran meluas dan proses libat urus bersama-sama dengan pihak pendeposit bagi memahami dengan lebih baik keperluan mereka dan TH mendapati bahawa perubahan demografi masyarakat Islam di Malaysia mempunyai kesan yang amat ketara.

Walau bagaimanapun, TH mempunyai sebanyak 9.6 juta pendeposit pada hari ini, iaitu hanya sebanyak 50 peratus dari penduduk Muslim di negara ini.

Jelasnya lagi, lebih 53 peratus pendeposit TH mempunyai simpanan kurang daripada RM1300.00 dan jumlah itu sebenarnya jauh daripada mencukupi bagi persediaan menunaikan haji. Bayaran haji bagi seorang jemaah kumpulan B40 bagi tahun 2025 adalah sebanyak RM15 000.00.

TH juga sedang merancang kempen bagi menarik umat Islam negara ini untuk menabung lebih awal, konsisten dan sistematik untuk peningkatkan simpanan ke paras yang membolehkan mereka menunaikan ibadat haji serta memastikan pelaburan yang stabil demi kelestarian institusi.

Lembaga Pengarah TH telah memutuskan untuk mengkaji semula strategi supaya kekal berdaya saing dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan menarik minat lebih ramai umat Islam di Malaysia terutamanya golongan muda sebagai pendeposit.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi