Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Selangor – Golongan pendidik di sekolah memainkan peranan besar dalam memastikan kefahaman wasatiyah atau kesederhanaan yang jitu dapat diterapkan dalam kalangan generasi muda.
Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pendedahan mengenai elemen kesederhanaan pada awal usia penting agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan hujah yang boleh menjerumus kepada amalan ekstrem.
Menurut beliau, pendedahan itu dapat membentuk generasi masa hadapan yang berdaya tahan walaupun berdepan dengan hunjaman atau tekanan daripada pelbagai fahaman.
“Kita pastikan akidah mereka kuat, jangan sampai tergadai iman, amalan dan imej sebagai orang Islam, di samping mengangkat nilai dan didikan agama agar mereka tidak menghancurkan masyarakat dengan amalan ekstrem yang membawa imej buruk,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Wasatiyah dan Membendung Ekstremisme dan Pelancaran Selangor Bertadabur di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor pada Rabu.
Mengulas lanjut tentang seminar itu, beliau yakin penganjurannya mampu memberikan pendedahan kepada para pendidik mengenai tanggungjawab yang harus dilaksanakan menerusi ilmu dan pendidikan.
Kata beliau, pengenalan dan pemahaman tentang wasatiyah merupakan tuntutan pada masa kini memandangkan minat masyarakat terhadap pendakwah dan agama semakin tinggi, termasuk melalui platform media sosial sehingga program dan hiburan berunsur Islam.
“Cabaran kepada untuk membawa fikrah, manhaj fikiran dan pendekatan yang sederhana tetapi menepati keperluan, kehendak serta persekitaran masyarakat.
Beliau turut menegaskan bahawa terdapat salah faham dalam kalangan sesetengah pihak yang mendakwa wasatiyah menatijahkan pelaksanaan sesuatu perkara tanpa kesungguhan.
“Wasatiyah bukan bererti kita harus laih (lemah), tidak tekun atau tidak sempurna, tetapi merujuk kita harus bekerja dengan sempurna.
“Wasatiyah bukan bererti cukup sekadar memenuhi yang wajib, tetapi harus dilengkapkan dengan perkara lain (untuk menyempurnakannya),” ujarnya.
Bahkan, fahaman ekstrem bagi sebahagian kelompok cenderung bertindak rigid dalam pelaksanaan ajaran agama secara lengkap manakala sebahagian kelompok lain pula longgar yang keterlaluan dalam semua perkara, berbeza dengan konteks wasatiyah sebenar.
Beliau menambah bahawa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui Majlis Agama Islam Selangor mengetengahkan pendekatan lebih tegas supaya pemahaman dan pengamalan ajaran agama tidak mengelirukan serta membawa perpecahan dalam masyarakat.
Kata beliau, pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam mengenai takrifan Ahli Sunah wal Jamaah baru-baru ini dipertimbangkan setelah penilaian Jawatankuasa Fatwa berdasarkan sejarah perkembangan masyarakat bagi menjamin kesederhanaan dan pemahaman yang menyuluruh tentang agama Islam di negeri ini.
“Dengan pendekatan ini, masyarakat yang semakin dekat kepada Islam tidak mudah diasak semangatnya sehingga membawa kepada ekstremisme, kerosakan dan pepecahan dalam masyarakat.
“Apabila kita semakin berilmu dan bermaklumat, kita dapat bertindak berpandukan keadaan dan persekitaran tanpa mengorbankan pegangan iman,” jelasnya.
Sementara itu, seminar yang dihadiri lebih 350 orang guru di bawah kelolaan JAIS tersebut mengupas tentang konsep sebenar wasatiyah dalam Islam, langkah pencegahan bagi membendung ajaran sesat dan ideologi melampau serta peranan guru sebagai benteng awal membentuk generasi muda.
Pada masa yang sama, pelancaran program Selangor Bertadabur pula mengajak masyarakat menghayati Surah al-Mulk melalui program kunjungan ke 10 hingga 15 buah masjid terpilih di seluruh negeri.