Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – “Mesyuarat bukan sekadar memenuhi agenda rutin atau keperluan formaliti, tetapi hendaklah menjadi wadah merangka strategi, berkongsi pandangan dan mencari penyelesaian yang berkesan serta mengambil tindakan susulan demi kemajuan bersama,” titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah, setiap mesyuarat yang diadakan di Perlis sama ada pada peringkat negeri, jabatan atau agensi kerajaan, badan swasta, organisasi, komuniti setempat mahupun kariah masjid dan rumah ibadah perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai medan perbincangan yang produktif, berfokus dan berimpak tinggi.
“Setiap pertemuan yang diadakan wajar menjadi platform strategik untuk percambahan idea, dikaji serta diambil tindakan dengan pantas untuk menggubal pelan tindakan yang lebih holistik.
“Hal ini merangkumi pelbagai aspek pembangunan dengan tujuan memperkasakan negeri serta mengangkat martabat umat di Perlis ke tahap yang lebih tinggi dan membanggakan,” titah baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Masjid Al-Abrar, Kubang Gajah, Arau, baru-baru ini.
Yang turut berangkat mengiringi baginda dan menyampaikan sumbangan ialah anakanda putera Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Yang Amat Mulia (YAM) Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Tuanku Raja Muda Perlis bertitah lagi bahawa menjadi harapan baginda agar setiap cadangan, keputusan atau resolusi yang dipersetujui dalam mana-mana mesyuarat atau perbincangan dapat diterjemahkan kepada tindakan nyata di lapangan tanpa bertangguh.
Titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin,
Sesuatu keputusan itu hendaklah disegerakan tindakannya, agar perkara yang telah diputuskan akan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Apa guna sesuatu keputusan dibuat, namun kekal ‘kaku dalam minit mesyuarat?’
“Keputusan yang baik hanya akan memberikan makna sekiranya disusuli dengan pelaksanaan yang berkesan dan memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat di negeri ini,” titah baginda.
Sempena program tersebut, baginda yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada sebanyak 225 orang asnaf terpilih, terdiri daripada 75 orang anak kariah Kubang Gajah, 75 orang anak kariah Alor Ara dan 75 orang anak kariah Banggol Sena.
Setiap penerima menerima sumbangan wang tunai daripada MAIPs berjumlah RM700, yang menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan pada edisi kali ini sebanyak RM157,500.