Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Khutbah Jumaat Khas Imam Masjid Nabawi, Tuan Yang Terutama Dr. Salah Muhammad al-Budair di Masjid Negara pada Jumaat sarat dengan pelbagai pesanan kepada umat Islam di Malaysia, khususnya dalam usaha memperkukuh perpaduan dan menjauhkan diri daripada perpecahan.
Menurut beliau, seburuk-buruk manusia ialah orang yang sentiasa berusaha merosakkan negara, menggugat keamanan dan memusuhi penduduknya.
“Orang jahil yang menyalakan api perselisihan, menjauhkan orang daripada agama dengan bersikap kasar, atau sengaja mencaci dan menghina orang lain tidak akan mampu menyatukan umat,” katanya.
Antara punca keretakan umat termasuklah pihak yang mengambil kesempatan tatkala umat Islam berpecah, merampas hak para ulama dengan memberikan fatwa tanpa ilmu, atau golongan sesat yang menjerumuskan dirinya dalam kezaliman dan kefasiqan.
Dr. Salah turut mengingatkan umat Islam agar berwaspada terhadap penyeru kesesatan, keruntuhan akhlak, kerosakan, kekufuran, dan permusuhan, selain berpegang teguh kepada kebijaksanaan dan kesederhanaan dalam semua urusan kehidupan.
Jelas beliau, umat Islam perlu memupuk kasih sayang terhadap diri sendiri dan orang lain dengan membantu orang jahil menerusi ilmu, orang yang memerlukan dengan kedudukan, orang miskin melalui harta, menghormati orang tua dan menyayangi anak muda, membimbing pendosa serta menunjukkan belas kasihan terhadap haiwan.
Beliau turut menegaskan bahawa umat Islam sewajarnya tidak menahan sesuatu pemberian, menyekat kebaikan, bersikap bakhil atau berasa terbeban apabila diminta bantuan.
“Janji orang pemurah ialah janji yang segera ditunaikan, sedangkan janji orang bakhil ialah janji yang sering ditangguhkan dengan alasan.
“Jika ingin memberikan sesuatu, bersegeralah; jika tidak mampu memenuhinya, jelaskanlah dengan kata-kata yang baik,” katanya.
Kata beliau, orang beriman seharusnya menyebarkan kebaikan dan menahan diri daripada menyakiti orang lain, termasuk menjauhi fitnah, penghinaan, tuduhan palsu, perbuatan mengkafirkan, membidaahkan serta mendedahkan aib orang lain, di samping menjaga kehormatan, nyawa, dan harta sesama manusia.
“Tiada keabadian di dunia yang boleh diharapkan, tiada kelangsungan hidup yang boleh dicita-citakan.
“Semua manusia hanyalah pengembara dan anak kepada pengembara,” ujarnya.
Beliau menyeru umat Islam supaya bangkit daripada kelalaian, kembali kepada Allah SWT dengan hati yang tunduk, bertaubat sebelum ajal menjemput dan memanfaatkan peluang selagi pintu keampunan masih terbuka.
Sementara itu, penyampaian khutbah khas tersebut bersempena dengan sebahagian daripada pengisian dalam lawatan rasminya ke Malaysia yang telah menarik perhatian para jemaah untuk hadir mendengarnya.
Selain itu, imam masjid kota suci kedua umat Islam itu turut memimpin solat Jumaat berjemaah yang disertai ribuan umat Islam di Masjid Negara.
Turut mengiringi kehadiran beliau ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar.