Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 9 Ogos 2025, 16:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim buat julung-julung kalinya melancarkan percetakan mushaf al-Quran terjemahan bahasa Rusia dan Mushaf Ummah al-Jami’ dalam suatu majlis yang berlangusng di Kompleks Nasyrul Quran pada Jumaat.

Mushaf al-Quran tejemahan bahasa Rusia merupakan terjemahan ke-30 yang diterbitkan oleh Yayasan Restu, manakala Mushaf Ummah al-Jami’ merupakan projek al-Quran yang menghimpunkan 20 riwayat qiraat mutawatir secara lengkap berasaskan sanad bacaan yang sahih.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyifatkan pelancaran mushaf bagi bahasa terjemahan ke-30 tersebut merupakan suatu perkembangan yang amat menggalakkan.

Jelas beliau, pihak kerajaan bersedia memberikan dukungan penuh dan kerjasama bagi merealisasikan cadangan penterjemahan ke dalam 20 bahasa lain lagi menerusi peruntukan dana tambahan.

“Perkara yang luar biasa dalam usaha Yayasan Restu ialah kemampuan menghasilkan al-Quran dengan kualiti tinggi dalam tempoh yang singkat, termasuk penterjemahan ke dalam 30 bahasa pada masa ini,” katanya.

Mushaf Ummah al-Jami’ merupakan inspirasi daripada sejarah penulisan Mushaf Uthmani yang memiliki kesinambungan warisan dan kaedah bacaan qiraat yang boleh dirangkul dalam satu mushaf.

“Hal ini sememangnya sesuatu yang menakjubkan dan saya mengucapkan terima kasih kerana inisiatif ini bermula dari institut penyelidikan di Doha, Qatar.

“Apalagi apabila Dr. Ahmad Isa al-Ma’sarawi membantu dari segi mutu pemahaman, ujarnya”.

Menurut beliau, usaha ini memastikan generasi muda tidak berasa asing apabila mendengar pelbagai kaedah pembacaan qiraat.

Pada masa yang sama, beliau turut berbesar hati untuk melancarkan Mushaf al-Quran MADANI secara nasional pada bulan Ramadan akan datang.

Mengulas lanjut, Kompleks Nasyrul Quran memainkan peranan penting bukan sahaja dalam penyebaran al-Quran, tetapi juga menggalakkan rakyat menerusi beberapa ikhtiar baharu, khususnya menanamkan minat golongan muda terhadap al-Quran dalam bidang ilmu terkini dengan berteraskan nilai.

“Yayasan Restu telah meletakkan kedudukan Malaysia sebagai antara negara pengeluaran al-Quran yang terbesar di dunia selain Arab Saudi dan Mesir, dan yang terkemuka di rantau ini.

“Apabila kita membicarakan nilai dalam negara MADANI, nilai ini mesti berteraskan Islam yang berpangkal pada al-Quran,” tegasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa tatkala naratif dan pengaruh Islamofobia semakin meruncing di dunia, Malaysia memilih pendekatan yang berlandaskan prinsip ajaran dan tradisi Islam melalui dialog, pengetahuan dan pemahaman.

“Kita bukan menjawab dengan cara mencerca atau bertindak balas secara sembrono sebagaimana yang kita lihat sering berlaku, termasuk dalam negara kita, sebaliknya kita memilih untuk menghasilkan terjemahan al-Quran dan mengedarkannya ke banyak tempat,” katanya.

Sementara itu, mushaf al-Quran terjemahan bahasa Rusia merupakan sebahagian daripada “Kempen 1 Juta al-Quran” yang membawa misi menyebarkan mushaf al-Quran ke seluruh dunia.

Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan Restu, YB Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee.

Kredit Foto: Pejabat Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi