Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBachok – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan lebih RM2.1 juta kepada Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Kampung Telong, semalam.
Keputusan tersebut dibuat oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim setelah meneliti keadaan beberapa pondok di sini yang terlalu daif dan perlu dibaik pulih dengan segera dan akan dimulakan dalam masa terdekat.
Menurut beliau, selain membina kestabilan, memperkukuh tatakelola dan menolak salah guna kuasa, gagasan MADANI turut melihat keperluan untuk memperbaharui sistem pendidikan bagi mengukuhkan jati diri anak-anak bangsa.
Demikian ujar YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan dengan guru-guru pondok dan pelajar bagi memenuhi undangan tokoh ulama Kelantan, Tuan Guru Sheikh Wazir Al-Makki.
Menurut YAB Perdana Menteri lagi;
“Perkara ini merupakan sebahagian daripada usaha negara MADANI dalam percubaan kita membangunkan bangsa berasaskan keyakinan dan akhlak seperti digarap dalam karya Allahyarham Syeikh Jaafar Syeikh Idris. Usaha ini belum sempurna, namun dengan bimbingan para guru serta teguran dan kritikan membina, Insya-Allah kita akan terus memperbaiki kekurangan ini demi kemaslahatan umat dan kemuliaan negara.”

Dalam ucapannya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menyingkap sejarah perjuangan Islam tatkala umat diserang penjajah sama ada di Tanah Melayu, Indonesia, India, Mesir dan seluruh dunia hingga sistem pemerintahan yang sedia ada terpaksa tunduk dan menyerah kepada kekuatan asing.
“Ketika itu sistem ekonomi dan pendidikan ditawan, dan lebih mendalam lagi, seperti disebut oleh Sheikh Muhammad Al Ghazali sebagai Isti’mar Ruh al-Fikr, yakni penjajahan jiwa dan pemikiran.”
Namun begitu, dalam keadaan seluruh sistem robek dan runtuh dalam bertahan sebagai benteng akidah, ilmu dan roh perjuangan umat ketika itu hanyalah pesantren dan pondok, sekali gus menjadikan perkara tersebut sebagai sejarah yang perlu diinsafi oleh seluruh umat Islam.
Selaras dengan perkara itu, pelajar Islam kini didedahkan kepada pengajian al-Quran, termasuklah Matan Arbain Hadis 40 Imam Nawawi bukan hanya di sekolah agama atau pondok, malah di semua sekolah.