Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Simposium al-Quran Sedunia 2025 yang berlangsung di ibu negara pada Khamis bukan sekadar medan ilmiah yang menghimpunkan tokoh cendekiawan, bahkan menjadi langkah strategik dalam usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju wacana Islam global.
Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, negara pada hari ini tampil sebagai jambatan yang menyatukan warisan keilmuan dengan inovasi serta pusat dialog Islam kontemporari yang berwibawa.
Menurut beliau, Malaysia memainkan peranan yang signifikan sebagai suara sederhana yang membawa prinsip di tengah kekeliruan dunia moden.
Selain itu, kehadiran ulama dan ilmuwan dari seluruh dunia ke tanah air bukan sekadar suatu penghormatan, malah merupakan bukti bahawa Malaysia sedang memimpin hala tuju masa hadapan tamadun Islam.
“Jangan biarkan simposium ini berakhir di atas pentas dan kertas.
“Jadikanlah penganjurannya sebagai titik kepada gerakan pemikiran al-Quran yang segar, menjadi pemangkin dasar negara dan menyatukan tekad kita untuk membina Malaysia di atas landasan nilai wahyu,” katanya ketika berucap dalam Simposium al-Quran Sedunia 2025.
Dalam ucapannya, beliau turut menggesa khalayak agar kembali kepada ajaran al-Quran dengan menjadikannya sebagai kompas yang memandu arah, cermin yang menilai diri dan tiang utama yang mendirikan tamadun bangsa.
“Jika kita berpandukan wahyu dan setiap langkah yang kita lakukan berdasarkan nas, kemajuan yang kita bina bukan sekadar membangunkan negara, malah menyelamatkan jiwa, manusia dan maruah, serta mengangkat darjat generasi ummah yang sederhana,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak kerajaan menggerakkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) hufaz yang menyatukan dua kekuatan besar, iaitu hafazan al-Quran dan latihan teknikal agar negara dapat melahirkan wajah profesional Muslim masa hadapan yang mampu menjadi jambatan antara tuntutan zaman dengan tuntutan wahyu.
Di samping itu, beliau memaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) juga memperkenalkan program pratahfiz pada peringkat tabika sejak usia seawal tiga tahun, empat tahun dan lima tahun.
“Bermula dengan hanya 100 buah tabika, hari ini KEMAS memperluas dan mengembangkan program tersebut kepada 8167 buah tabika di seluruh negara dengan menyantuni lebih daripada 121 ribu orang anak prahufaz.
“Menjelang tahun 2026, kita menyasarkan kelahiran sebanyak 140 ribu orang prahufaz cilik,” ujarnya.
“Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menerusi Majlis Amanah Rakyat mengangkat usaha dengan meluaskan penawaran subjek tahfiz al-Quran (Program Ulul Albab) ke 57 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara.
“Cita-cita ini merupakan impian kerajaan untuk melihat para hufaz tidak hanya membaca al-Quran di mimbar, bahkan memimpin sebuah negara, menjadi mujadid yang membina sistem hidup, serta pendamai dunia yang membawa rahmat Islam ke pentas global,” tambahnya lagi.
Tegas beliau, pelaksanaan program berkenaan merupakan sebahagian daripada ekosistem pendidikan menyeluruh yang sedang diperkukuh oleh kerajaan.
“Jika ekosistem ini terus diperkasakan, diperkemas dan diselaraskan dengan sokongan menyeluruh, maka Malaysia akan melahirkan ummah yang bukan sahaja cerdik akalnya, tinggi ilmunya, bahkan kaya dengan roh dan adabnya,” katanya.