Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lembaga Tabung Haji (TH) mengeluarkan makluman peringatan awal kepada bakal jemaah dalam giliran bagi musim haji 1447H/2026M untuk bersedia lebih awal terutamanya dari aspek pengemaskinian rekod maklumat peribadi, kesihatan, kewangan, pengurusan diri, dan peningkatan ilmu berkaitan dengan fardu ain dan haji.
Menurut TH, giliran menunaikan haji boleh disemak melalui platform THiJARI atau di pejabat cawangan TH di seluruh negara.
“Langkah proaktif ini selari dengan usaha berterusan TH untuk meningkatkan perkhidmatan bagi manfaat jemaah haji Malaysia,” kata TH dalam kenyataan, baru-baru ini.
TH berkata, ibadah haji yang merupakan rukun Islam kelima hanya diwajibkan bagi umat Islam yang berkemampuan merangkumi aspek kesihatan, kewangan, kebenaran pihak berkuasa (kuota) dan keselamatan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Haji Mustakim Mohamad dalam kenyataan yang sama berkata, ibadah haji memerlukan persediaan yang amat rapi bagi memenuhi aspek kemampuan menunaikannya.
Tambah beliau, peringatan mesra daripada TH ini diharapkan dapat membantu bakal jemaah meningkatkan ketersediaan mereka untuk layak menjawab tawaran dan kemudian menunaikan ibadah haji dengan lancar bagi mendapatkan haji yang mabrur.
“Makluman peringatan awal ini dikeluarkan bagi membantu bakal jemaah untuk membuat persediaan sepenuhnya lebih awal kerana berdasarkan pengalaman sebelum ini, bakal jemaah tidak berjaya melayakkan diri menerima tawaran haji terutamanya atas faktor kesihatan dan kewangan,” jelasnya.
“Diharapkan bakal haji dalam giliran akan mempunyai tempoh masa persediaan yang lebih panjang untuk layak menerima dan menjawab tawaran haji dengan pengumuman awal ini,” ujarnya.