Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan sejumlah RM4.5 juta dana zakat bagi menaja sebanyak 100 orang pelajar asnaf dari Kemboja untuk melanjutkan pengajian tinggi di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, tajaan penuh ini merangkumi yuran pengajian, penginapan, wang saku dan keperluan asas lain.
“Tiga institusi yang menerima kemasukan pelajar melalui program ini ialah Kolej Profesional Baitulmal MAIWP sebanyak 30 orang pelajar, Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) dengan pelajarnya sebanyak 20 orang pelajar dan Kolej Dar Al-Hikmah pula sebanyak 50 orang pelajar,” jelasnya.
Inisiatif ini dimeterai melalui Majlis Menandatangani MoU antara MAIWP dengan Yayasan Pembangunan Islam Kemboja, hari ini.
Menurut YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im, kerjasama ini seiring dengan tema ASEAN pada tahun ini, iaitu “Keterangkuman dan Kemampanan”, yang menonjolkan peranan pendidikan untuk merapatkan jurang perbezaan demi membina masa hadapan yang lestari.
MAIWP diwakili oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, YBhg. Datuk Mohd Nizam Haji Yahya, manakala Yayasan Pembangunan Islam Kemboja diwakili oleh Ahli Parlimen Kemboja merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan, His Excellency Rofy Othsman.