Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sebanyak 71 orang peserta dari 49 buah negara berhimpun di ibu negara bagi menyertai Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) 2025 yang membuka tirainya pada 2 Ogos yang lalu dan akan berakhir pada 9 Ogos ini.
Penganjuran majlis berprestij untuk kali ke-65 ini diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), penganjuran pada tahun ini akan membawakan sedikit kelainan dengan penerapan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan kelancaran dan kualiti majlis.
“Tema yang dipilih untuk MTHQA kali ini ialah ‘Membangun Ummah MADANI’, selari dengan hasrat kerajaan MADANI untuk membentuk sebuah masyarakat yang maju dan berteraskan nilai murni.
“Dengan berpaksikan semangat Malaysia MADANI, acara ini mencerminkan komitmen negara dalam memartabatkan al-Quran di pentas dunia, sekali gus memperkukuh imej Malaysia sebagai peneraju dalam penghayatan Islam yang progresif dan penuh hikmah,” kata JAKIM.
JAKIM juga menjelaskan, bagi memastikan hanya peserta terbaik dari seluruh dunia yang bertanding, sesi saringan awal telah pun dijalankan secara dalam talian pada 19 Mei hingga 23 Mei 2025 yang lepas.
Proses ini penting untuk mengekalkan taraf MTHQA sebagai sebuah pertandingan tilawah al-Quran yang disegani pada peringkat global.
Majlis perasmian MTHQA 2025 disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pada 2 Ogos lalu.
Sebanyak 18 orang juri dari pelbagai negara termasuklah Malaysia, Mesir, Jordan dan Indonesia telah dilantik untuk mengadili pertandingan ini demi menjamin ketelusan dan keadilan dalam penghakiman.
Orang awam dijemput untuk bersama-sama memeriahkan majlis ini dan memberi sokongan kepada para peserta yang akan memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran.