Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 2 Ogos 2025, 19:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seberang Jaya – Maqasid al-Salam atau dikenali maqasid keamanan merupakan prinsip maqasid tertinggi dalam kerangka maqasid syariah yang berperanan menolak ekstremisme dan pemikiran melampau (al-ghuluw) dalam usaha membina kedamaian dan ketamadunan.

Hal ini demikian kerana satu daripada objektif penting dalam ajaran Islam adalah untuk memadamkan api permusuhan serta menyebarkan keamanan dan kesatuan dalam kalangan manusia pada semua peringkat sebagaimana pandangan Dr. Ahmad al-Raisuni.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, para ulama kontemporari turut berpandangan bahawa maqasid syariah tidak hanya terhad kepada pemeliharaan nyawa, agama, akal, keturunan dan harta, tetapi melibatkan elemen keadilan, kebebasan, maruah dan keamanan.

Jelas beliau, maqasid keamanan sangat relevan dalam konteks Malaysia memandangkan negara ini menikmati banyak manfaat hasil daripada keamanan serantau, selain kedudukannya sebagai negara ke-13 paling aman di dunia yang telah menarik kedatangan pelancong dan kemasukan pelaburan antarabangsa.

“Sekiranya terdapat anasir yang cuba menyuntik bibit perpecahan dan pertelingkahan, kita perlu menoktahkan segera kerana maqasid keamanan ini menjadi paksi kepada kestabilan, kesejahteraan dan kemakmuran,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam Seminar Maqasid Syariah Peringkat Negeri Pulau Pinang di The Light Hotel pada Khamis.

Beliau menzahirkan kebimbangannya terhadap bibit al-ghuluw dalam kalangan segelintir masyarakat dan menyeru semua pihak untuk mengangkat maqasid keamanan, serta menolak anasir yang menyalakan api perkauman, tindakan pencerobohan hak seseorang serta menolak ketaasuban.

“Perkara ini perlu ditangani secara berhikmah menerusi pendekatan dan penghayatan wasatiyah, iaitu kesederhanaan.

“Selaku Pengerusi ASEAN, kita telah berusaha untuk melaksanakan maqasid keamanan apabila mencipta sejarah menjadi perantara yang menghentikan konflik peperangan antara Thailand dengan Kemboja,” katanya.

“Malaysia berpotensi tampil sebagai peneraju maqasid keamanan pada peringkat antarabangsa,” jelasnya lagi.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa maqasid syariah mempunyai prinsip yang bersifat sejagat dan relevan dalam memberikan jalan penyelesaian kepada pertembungan antara nilai Barat dengan nilai Timur.

Ujar beliau, era pascanormal menyaksikan kerumitan dan ketidaktentuan mendominasi dunia ketika ini, lantas memerlukan satu gagasan yang mantap untuk mendepani realiti baharu pada hari ini.

Cabaran yang dihadapi oleh warga Muslim di Barat dan Eropah ialah mereka sedang menghadapi sebuah realiti pascanormal, iaitu kebangkitan fasis dan Islamofobia baharu yang lebih kompleks.

“Sebelum ini, Islamofobia hanya tertumpu pada kebencian kepada Muslim, tetapi kebencian itu telah merebak kepada ajaran Islam itu sendiri sebagai sebuah agama dan ketamadunan.

“Sebarang pertelingkahan, konflik dan krisis yang berlaku di dunia adalah kerana pertembungan antara dua nilai, iaitu nilai Barat dengan nilai Timur,” ujarnya.

Tambah beliau, tindakan Barat yang cuba untuk mengenakan sistem nilai mereka kepada masyarakat Timur telah mencetuskan penentangan terhadap usaha itu.

Mengulas lanjut, beliau menukilkan pandangan Mansoor Moaddel dalam The Clash of Values bahawa masyarakat memerlukan sebuah set nilai yang mendamaikan dan diterima secara sejagat.

“Apa-apa bangsa, agama dan ideologi menerima prinsip pemeliharaan agama, nyawa, keturunan, akal dan harta yang merupakan nilai sejagat dan prinsip inilah menjadi paksi kepada gagasan Malaysia MADANI,” katanya.

Lantaran itu, ketegasan Perdana Menteri terhadap inti pati gagasan MADANI yang berasaskan nilai keihsanan, kemampanan, keyakinan, hormat dan daya cipta bersifat manusiawi serta disokong oleh maqasid syariah.

Hal tersebut termasuk pendidikan manusiawi yang bertujuan melahirkan insan yang mempunyai karakter dan sahsiah yang baik serta seimbang dari aspek emosi, jasmani, intelektual dan rohani.

Bahkan, dari sudut ekonomi pula, gagasan tersebut dilihat berupaya mengembalikan semula semangat keadilan dalam sistem ekonomi yang menepati prinsip Islam.

Kredit Foto: Al-Hady Centre
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi