Diterbitkan pada 1 Ogos 2025, 17:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Garis Panduan Kompetensi Juruaudit Halal Malaysia dilancarkan sempena Konvensyen Juruaudit Halal Malaysia 2025 bagi memperkukuh standard profesionalisme dan integriti dalam sistem pensijilan halal.

Dokumen ini menjadi rujukan rasmi untuk menetapkan tahap kompetensi, etika dan amalan profesional yang perlu dipatuhi oleh semua juruaudit halal di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, juruaudit halal merupakan barisan hadapan dalam menjamin integriti rantaian bekalan halal negara.

“Tanggungjawab sebagai juruaudit halal memerlukan tahap kecekapan, amanah dan ketelusan yang tinggi demi menjaga kepercayaan pengguna terhadap pensijilan halal,” katanya ketika merasmikan konvensyen tersebut di Institut Latihan Islam Malaysia, Selasa lalu.

Menurut beliau, prinsip keadilan dan sikap tidak berpihak wajib dipegang walaupun ketika berurusan dengan syarikat besar atau berpengaruh.

“Ketegasan dan integriti dalam pengauditan merupakan asas utama kepada kekuatan sistem pensijilan halal Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjelaskan bahawa Konvensyen Juruaudit Halal Malaysia 2025 dianjurkan untuk meningkatkan kompetensi juruaudit halal sejajar dengan keperluan industri dan tuntutan masyarakat Islam yang semakin kompleks.

Tambah JAKIM, langkah ini juga bertujuan untuk memperkukuh penyelarasan sistem pengauditan halal di seluruh negara agar sijil halal Malaysia kekal diyakini pada peringkat nasional dan antarabangsa.

“Sebanyak 233 juruaudit halal daripada pelbagai agensi seperti JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) menyertai konvensyen tersebut,” jelas JAKIM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi