Diterbitkan pada 29 Julai 2025, 09:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nairobi – Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) menerusi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menjalinkan kerjasama strategik dengan Universiti Umma, Kenya dalam usaha memperkukuh jaringan pendidikan Islam antarabangsa serta memperluas kolaborasi akademik dan pembangunan sumber manusia berteraskan nilai Islam.

Perbincangan rasmi antara kedua-dua institusi berlangsung di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, baru-baru ini yang melibatkan delegasi tertinggi Universiti Umma yang diketuai oleh Canselornya, Dr. Abbas Gullet, bersama-sama tiga orang pegawai kanan universiti tersebut.

Delegasi tersebut terdiri daripada Naib Canselor, Dr. Halima Saado Abdillahi; Timbalan Naib Canselor (Akademik, Penyelidikan dan Hal Ehwal Pelajar), Dr. Ali Khamah; serta Timbalan Naib Canselor (Perancangan, Pentadbiran dan Kewangan), Dr. Ali Abdullah.

DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Yang Dipertua MAIPs merangkap Canselor UniSIRAJ berkenan menerima menghadap delegasi berkenaan bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut mengiringi baginda ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail Al-Haj.

Delegasi MAIPs pula diketuai oleh Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam sesi perbincangan tersebut, beberapa bentuk kerjasama telah dicadangkan termasuklah pertukaran pelajar dan pensyarah antara UniSIRAJ dengan Universiti Umma, kolaborasi penyelidikan, penganjuran persidangan antarabangsa, serta penerbitan jurnal ilmiah bersama.

“Universiti Umma yang ditubuhkan pada tahun 1997 sebagai Thika College for Sharia and Islamic Studies oleh tokoh terkenal, Dr. Abdulrahman Al‑Sumait, kini berkembang sebagai institusi pengajian tinggi Islam terkemuka di rantau Afrika Timur,” kata Dr. Abbas Gullet.

Beliau menambah, universiti itu memperoleh piagam universiti penuh daripada Presiden Kenya pada 18 Oktober 2019 dan kini beroperasi dengan kampus utamanya di Kajiado serta kampus asal di Thika.

Universiti Umma kini menawarkan pelbagai program diploma, ijazah sarjana muda dan pascasiswazah dalam bidang Syariah, Undang-undang, Pendidikan, Perniagaan dan Kejururawatan.

Dalam majlis tersebut, kedua-dua pihak turut bersetuju menandatangani surat hasrat (letter of intent) sebagai langkah permulaan pelaksanaan kerjasama strategik ini.

Turut hadir dalam sesi bersejarah itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Nairobi, Ruzaimi Mohamad; Setiausaha Kedua Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Nairobi, Syarafina Adilah Ahmad Nasir; dan Pengarah Educate International, Omar Mohamed.

Kredit Foto: Ihsan MAIPs
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi